Input your search keywords and press Enter.

DILEMA KERAJAAN: EKONOMI ATAU KESIHATAN AWAM?

Oleh Azyyati Binti Mat Daud

Penuntut Semester Akhir Sarjana Sastera Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi (CMIWS), UiTM Shah Alam

Keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagaimana PKP 1.0 adalah satu keputusan yang amat sukar bagi Kerajaan. Hal ini kerana ekonomi dan kesihatan awam juga perlu diimbangi melihat ia mempengaruhi antara satu sama lain. Ekoran itu, Kerajaan tiada pilihan selain melaksanakan PKP 3.0 dengan memberi kelonggaran tertentu. Rakyat Malaysia juga diingatkan agar tidak lalai dan alpa untuk mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian kerana kita masih belum menang dalam memerangi wabak Covid-19 ini.

Pelaksanaan PKP 3.0 ini mungkin bukan satu berita yang gembira kepada rakyat Malaysia. Kerajaan mempunyai asas yang tersendiri untuk tidak melaksanakan ‘total lockdown’. Keputusan kerajaan untuk menguatkuasakan PKP 3.0 dengan membuka sektor ekonomi dan sosial secara ketat bukanlah satu keputusan yang tergesa-gesa sebaliknya telah mengambil kira kesemua aspek dan kebarangkalian yang akan berlaku.

Pelaksanaan PKP 3.0 ini sendiri bukan satu perkara yang mudah bagi Kerajaan kerana kerajaan perlu mengambil kira kepentingan ekonomi atau kesihatan awam berdasarkan rizab-rizab Kerajaan dan kelangsungan hidup rakyat itu sendiri malah hospital-hospital di seluruh negara yang dikhaskan untuk merawat pesakit Covid-19 dan hospital swasta dilihat kini telah beroperasi pada kapasiti maksimum.

Memetik kata-kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan bahawa sektor ekonomi negara perlu dibuka demi kepentingan pekerjaan dan melindungi pekerja negara ini. Ianya bukan satu perkara yang mudah bagi Kerajaan untuk menyeimbangkan antara perbelanjaan kesihatan awam dan penjanaan ekonomi ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Kerajaan dilihat berada dalam dilema bak pepatah Melayu, ditelan mati emak, diluah mati bapa. Begitulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan situasi Kerajaan pada masa ini yang sama seperti Kerajaan lain di seluruh dunia, Kerajaan perlu membuat keputusan yang mana perlu didahulukan sama ada usaha melindungi kesihatan awam atau memastikan ekonomi tidak lumpuh yang akan memberi kesan kepada rakyat lebih serius berbanding Covid-19 kelak.

Keputusan Kerajaan ini adalah hasil kaji selidik yang mendapati bahawa penularan Covid-19 berkaitan dengan varian baharu ini bukan sahaja memberi kesan besar ke atas kesihatan awam, malah juga akan membawa mudarat prestasi kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat khususnya industri-industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai penyumbang tenaga kerja terbesar di Malaysia.

Ekoran itu, Kerajaan dilihat sebagai tiada pilihan dan terpaksa mengambil kira dari pelbagai sudut dengan langkah-langkah yang lebih proaktif dalam memastikan kesihatan awam dan ekonomi terjaga.

Sesungguhnya isu kesihatan awam dan ekonomi ini saling berkait, namun apa yang menjadi keutamaan kini dapat dilihat Kerajaan sedang mencuba sehabis baik untuk mencari solusi yang terbaik bagi menyelamatkan nyawa rakyat dan dalam masa yang sama memastikan ekonomi seharian rakyat tidak terhenti berterusan.

Setiap keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Kerajaan adalah dengan mengambil kira perbincangan bersama Kemeterian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kementerian berkaitan dalam usaha mencari jalan mengimbangi kesihatan awam dan ekonomi bagi memulihkan negara dari kemudaratan wabak Covid-19 ini.  Justeru itu, janganla kita khuatir dan seharusnya kita sebagai rakyat sama-sama membantu dan mendukung usaha Kerajaan ini.

#Tamat#

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update