Input your search keywords and press Enter.

PKP 3.0 PKP SEPARUH MASAK?

Oleh Azyyati Binti Mat Daud

Penuntut Semester Akhir Sarjana Sastera Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi (CMIWS), UiTM Shah Alam

Pelbagai pihak terus mendesak Kerajaan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh atau ‘Total Lockdown’ ekoran jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilihat semakin meningkat dan membimbangkan.

Pada 21 Mei 2021, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa PKP 3.0 akan diperketatkan lagi menjurus pada sektor ekonomi dan sosial.

Kebanyakkan rakyat kecewa dengan kenyataan tersebut dan melabelkan pelaksanaan PKP 3.0  sebagai PKP ‘separuh masak’ dan meyifatkan keputusan kerajaan tidak melaksanakan ‘total lockdown’ melalui media sosial adalah sebagai terlalu menjaga hati tauke-tauke besar.

Kerisauan dan kebimbangan itu dizahirkan oleh rakyat dengan mengambil kira kemunculan beberapa varian mutasi Covid-19 seperti Varian Afrika dan Varian India yang dilihat lebih berbahaya dan fatal tanpa sebarang gejala.

Golongan ‘Kayangan’ yang terdiri daripada artis, ahli politik dan orang kenamaan masih dilihat bebas tanpa sebarang tindakan adil yang dikenakan sebagaimana rakyat biasa.

PKP 3.0 ditakrifkan sebagai gagal kerana kes terus meningkat walaupun pematuhan Standard Operating Procedure (SOP) oleh rakyat telah dilaksanakan. Atas dasar golongan tertentu, kes Covid-19 masih lagi melonjak naik pada tahap yang tidak terkawal dengan kesesakan di hospital-hospital dan kekurangan katil di wad kecemasan serta ICU. Belum lagi mengambil kira kepenatan dan kelesuan barisan hadapan dalam memerangi wabak ini kerana golongan ‘kayangan’ ini.

Tidak dinafikan Covid-19 telah meninggalkan kesan yang besar pada sektor ekonomi dan kesihatan awam di negara ini. Pihak kerajaan seharusnya memanfaatkan sepenuhnya PKP 3.0 ini pada ketika rakyat masih lagi mempunyai saluran bantuan seperti i-Lestari dan i-Sinar. Dengan memanfaatkan bantuan yang disalurkan, kerajaan boleh mengambil inisiatif untuk melaksanakan ‘total lockdown’ sekurang-kurangnya selama dua minggu bagi memberi ruang dan peluang kepada barisan hadapan untuk mengendalikan kes sekaligus mengurangkan kadar kebolehjangkitan kes Covid-19.

Berdasarkan statistik kes mingguan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menunjukkan trend peningkatan secara berterusan bermula dari 16 Mei hingga 21 Mei 2021. Manakala trend kes aktif juga menunjukkan peningkatan berterusan berdasarkan kapasiti penggunaan wad biasa di hospital-hospital kerajaan dan swasta serta penurunan kes sembuh dalam tempoh dua minggu iaitu pada minggu ke-20 dan ke-21 tahun 2021.

Ini tidak sewajarnya berlaku sekiranya PKP 3.0 dilaksanakan secara total sebagaiman PKP 1.0. Wajar dilihat kegusaran dan kerisauan rakyat yang telah berhempas pulas membantu dalam mematuhi SOP bagi mengurangkan keluk Covid-19 tetapi golongan ‘kayangan’ yang melakukan kesalahan dibebaskan dengan denda biasa dan kerajaan menyalahkan rakyat ats ketidakpatuhan SOP yang ditetapkan. Bak kata pepatah Melayu, ibarat seekor kerbau membawa lumpur, semuanya habis terpalit.

#Tamat#

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update