Input your search keywords and press Enter.

Kadar Pemberian Vaksin Lepasi 157,949 Dos Semalam

M Update, 11/06/2021 – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencapai kemajuan memberangsangkan apabila mencatat kadar pemberian vaksin tertinggi dengan 157,949 dos semalam.

Ia adalah kadar tertinggi sejak PICK bermula pada 24 Februari lalu, selain menyaksikan kapasiti pemberian vaksin melepasi 150,000 dos untuk tiga hari berturut-turut. Jumlah itu berjaya dicapai sejak kerajaan memperkenalkan pusat pemberian vaksin (PPV) mega, bergerak dan pandu lalu, baru-baru ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata peningkatan kadar pemberian vaksin COVID-19 itu menyaksikan lebih 4.1 juta dos sudah diagihkan setakat semalam.

Daripada jumlah itu, katanya, lebih 2.8 juta individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, iaitu hampir 8.9 peratus daripada keseluruhan polulasi Malaysia, selain hampir 1.3 juta mendapat dua suntikan lengkap vaksin itu.

“Jumlah pemberian vaksin COVID-19 setakat semalam ialah 4,102,936 dos iaitu peningkatan sebanyak 157,949 dos berbanding hari sebelumnya. Jumlah individu yang menerima dos pertama ialah 2,835,178 orang. Daripada jumlah itu, 1,267,758 orang juga sudah menerima dos kedua,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Berdasarkan data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), Kuala Lumpur mencatat pemberian vaksin tertinggi dengan 601,618 dos, disusuli Selangor (583,564), Sarawak (397,889), Johor (383,710), Perak (337,371) dan Sabah (316,551).

Kadar pemberian vaksin harian kali pertama melepasi 150,000 pada Selasa lalu dengan 151,309 dos, sebelum meningkat kepada 154,866 dos kelmarin dan 157,949 dos semalam. Peningkatan kapasiti pemberian vaksin itu juga menyaksikan jumlah dos vaksin yang diagihkan meningkat lebih lapan peratus dalam tempoh tiga hari berkenaan. – BH Online