Input your search keywords and press Enter.

Langgar SOP : Tauke Gym Dikompaun RM10,000

M Update, 16/6/2021 – Tindakan seorang pengusaha gym membuka perniagaan demi memenuhi hasrat pelanggan bersenam, sekadar mengundang padah apabila diserbu polis, petang semalam.

Dalam pemeriksaan di Jalan Bagan Luar pada jam 5.40 petang itu, pengusaha gym itu dikompaun RM10,000 manakala pelanggannya dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata berdasarkan maklumat awam, sepasukan anggotanya melakukan operasi pematuhan SOP terhadap gym berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati sekumpulan pengunjung terdiri empat lelaki berusia 36 hingga 52 tahun dan seorang remaja di bawah umur, sedang melakukan aktiviti bersenam di gym terbabit.

“Memandangkan aktiviti perniagaan berkenaan bukan berada dalam kategori perkhidmatan yang perlu ketika ini, ia menjadi satu kesalahan pelanggaran SOP.

Oleh itu, polis mengeluarkan kompaun ke atas empat pengunjung gym masing-masing RM2,000 manakala pemilik gym berusia 58 tahun dikompaun RM10,000 kerana menjalankan perniagaan tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan 16(3) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. Beliau berkata, polis akan terus memantau perniagaan dalam perkhidmatan bukan keperluan yang didapati melanggar peraturan sepanjang pelaksanaan SPP.

Orang ramai yang mengetahui terdapat aktiviti pelanggaran SOP diminta dapat terus menyalurkan maklumat bagi membantu pihak polis.Kerjasama semua membolehkan polis bersama agensi lain melaksanakan tugasan pemantauan dengan berkesan, sekali gus memastikan orang awam dapat mematuhi SOP dalam usaha mengurangkan penularan wabak COVID-19,” katanya. – BH Online