Input your search keywords and press Enter.

Warga Emas 100 Tahun Antara Penerima Pertama Vaksin Di PPV Sook

M Update, 22/06/2021 – Seorang wanita berusia 100 tahun adalah antara 78 penerima pertama vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Kecil Sook, di sini, yang dibuka bermula semalam.

PPV Sook yang beroperasi di Dewan Masyarakat Sook memudahkan penerima vaksin dari sekitar daerah kecil itu dan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tulid hadir ke pusat vaksin berkenaan berbanding ke PPV di pekan Keningau yang jaraknya kira-kira 40 kilometer dari Sook.

Inan Kuyinin Balansing, dari Kampung Kabatang Baru, Tulid diberikan vaksin sejurus selepas menghadiri sesi janji temu penyakit tidak berjangkit (NCD) di Klinik Kesihatan Sook. Kehadiran Kuyinin menarik perhatian petugas PPV dari Klinik Kesihatan Sook yang kemudian memuat naik gambar dan catatan ringkas mengenai program imunisasi di PPV berkenaan melalui laman Facebook klinik terbabit.

Hantaran mengenai warga tua berkenaan mendapat reaksi positif netizen yang rata-ratanya memujinya kerana tampil menerima vaksin selain mengagumi kesihatannya hingga mampu mencapai usia seabad.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, ketika meninjau PPV berkenaan semalam berkata, pembukaan PPV itu adalah antara langkah proaktif kerajaan bagi memastikan rakyat luar bandar mendapat vaksin Covid-19 secepat mungkin.

“Pembukaan PPV ini memudahkan penduduk dari kawasan pedalaman hadir menerima vaksin, selain membolehkan masyarakat luar bandar mendapat maklumat yang sahih mengenai program vaksinasi yang dilaksanakan di seluruh negara. Mana-mana penduduk yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin akan didaftarkan terus tanpa melalui aplikasi MySejahtera,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sook.

Sumber : Klinik Kesihatan SOOK