Input your search keywords and press Enter.

CYDES 2021: Keselamatan Siber Antara Fokus Utama Kerajaan Dalam Memacu Ekonomi Negara – PM

M Update, 28/06/2021 – Impak pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah mengubah hampir keseluruhan gaya hidup masyarakat, termasuk menjadikan penggunaan teknologi digital sebagai norma baharu, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kepantasan kebergantungan manusia kepada dunia digital sewaktu era pandemik ini, adalah diluar jangkaan dan COVID-19, katanya lagi, telah mempercepatkan lagi usaha dan strategi Kerajaan untuk meningkatkan literasi digital di kalangan masyarakat.

Jelasnya lagi, lebih ramai rakyat Malaysia telah melibatkan diri dalam e-dagang, manakala golonngan pelajar lebih terdedah kepada bilik darjah dalam talian, sementara sektor ekonomi dan kerajaan terus berusaha meningkatkan kecekapan digitalisasi. Ia telah menjadi jelas bahawa kebergantungan ini bukan sahaja mencipta peluang-peluang baharu, tetapi ia juga telah membuka laluan kepada pelbagai jenis ancaman, risiko dan kelemahan.

“Penjenayah siber yang tidak bertanggungjawab, akan cuba mengeksploitasi situasi sebegini bagi melaksanakan niat jahat mereka,” katanya ketika berucap melancarkan Cyber Defence & Security Exhibition and Conference 2021 (CYDES 2021) secara maya awal hari ini.

Perdana Menteri berkata, walaupun tiga tahun kebelakangan ini menunjukkan nilai kerugian harta akibat jenayah siber semakin menurun, namun jumlah kes baharu terus meningkat. Situasi itu, katanya lagi, membuktikan bahawa jenayah siber telah menjadi satu masalah yang memerlukan perhatian serius daripada semua pihak. Atas sebab itu, Perdana Menteri berkata, keselamatan siber perlu menjadi keutamaan bagi setiap negara, terutamanya berkaitan perkara yang mendasari perihal ekonomi dan keselamatan negara.

Beliau berkata, isu keselamatan siber kini menjadi antara fokus utama Kerajaan bagi melengkapkan usaha dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia. Katanya lagi, bagi menangani secara efektf isu berkenaan, Kerajaan telah melancarkan insiatif MyDigital, yang juga bertujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia mendalami digitalisasi, serta merebut peluang bagi memperbaiki taraf kehidupan.

“MyDigital merupakan inisiatif nasional bagi melambangkan aspirasi Kerajaan untuk menukar Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang didorong secara digital, dan menjadi pemimpin serantau dalam ekonomi digital. Bagi memastikan keberjayaan MyDigital, Agensi Keselamatan Siber Malaysia (NACSA) telah diberi tanggungjawab menjadi agensi peneraju bagi menyelaras dan menetapkan standard semua inisiatif keselamatan siber di bawah enam kluster MyDigital,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, kesemua pelan tindakan di bawah Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020-2024 akan diselaraskan dengan inisiatif MyDigital sebagai elemen penting untuk mencapai visi membina ruang siber yang selamat, dipercayai, dan mampan. Selain itu, Muhyiddin berkata, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menggalas tanggungjawab bagi membantu beliau dalam menguruskan isu berkaitan keselamatan siber negara.

(Inisiatif) ini merupakan terjemahan terhadap komitmen dan keseriusan Kerajaan dalam memperkasakan daya tahan negara dalam menjaga keselamatan ruang siber kita. Saya percaya bukan sahaja Malaysia, tetapi semua negara perlu mengambil perkara (tentang keselamatan siber) ini dengan serius,” katanya lagi.

Sumber : Astro Awani