Input your search keywords and press Enter.

Keganasan Varian Delta Mampu Gugat Usaha Malaysia Membendung Pandemik Covid-19

PKP 3.0 fasa pertama negara masih belum lagi menunjukkan trend penurunan kes jangkitan Covid-19 harian meskipun rakyat sudah memberi kerjasama dengan bekerja dan duduk di rumah seperti yang disarankan oleh kerajaan. Rakyat sudah pasti tertanya-tanya mengapa kes harian masih kekal berada di paras 4000 hingga 5000. Dengan sedikit bacaan dari research di dalam dan luar negara, kita mungkin dapat simpulkan bahawa antara culprit utama yang membantutkan usaha negara membendung pandemik ini adalah disebabkan oleh varian-varian baharu terutamanya dari India dan United Kingdom yang pantas menular di dalam komuniti masyarakat. Secara umumnya terdapat 4 varian utama yang sudah menyusup ke Malaysia iaitu varian Alpha dari United Kingdom, Beta (Afrika Selatan), Gamma (Brazil) dan Delta (India).

Di Malaysia ketika ini kita sudah merekodkan beberapa varian membimbangkan (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI) yang mana terdapat sebanyak 22 kes varian baharu varian membimbangkan (VOC), virus SARS-CoV-2 di antara 11 Jun hingga 19 Jun 2021. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 14 daripadanya ialah varian Beta (B.1.351) dan lapan kes varian Delta (B.1.617.2).

VOC yang dilaporkan ialah 137 kes varian Beta (B.1.351) yang semuanya kes jangkitan tempatan; 21 kes varian Delta (B.1.617.2), iaitu 12 kes jangkitan tempatan dan sembilan kes import; dan sembilan kes varian Alpha (B.1.1.7), iaitu empat kes jangkitan tempatan dan lima kes import. Katanya, bagi kes VOI yang dilaporkan 12 kes varian Theta (P.3) yang membabitkan kes jangkitan tempatan; tiga kes varian Eta (B.1.525) kedua-duanya membabitkan kes import dan satu kes varian Kappa (B.1.617.1) yang dikesan dari kes import. Dari kebanyakan kes yang dibawa oleh pelbagai varian ini, varian Delta telah dikenalpasti sebagai varian ganas yang bakal menggugat keberkesanan negara kita untuk mengawal dan menurunkan kes jangkitan Covid-19.

Memetik press release dari KKM kita, Varian Delta B.1.617 pertama kali dikesan di India dan kini dilaporkan telah merebak ke lebih 80 negara. Varian ini telah mencetuskan tsunami COVID-19 di India sehingga sistem perkhidmatan kesihatan di negara itu hampir lumpuh. Varian ini telah menjadi varian dominan di UK serta beberapa negara lain seperti Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan Indonesia. Juga dikenali sebagai Super Strain, Varian Delta dilaporkan 60% lebih cepat merebak dan membawa lebih banyak kematian. Di Malaysia, hasil survelans genomik telah mengesan 13 kes jangkitan Varian Delta setakat 10 Jun lalu. Bermula 24 Mei lalu, semua pengembara (rakyat tempatan sahaja) yang masuk ke Malaysi dari India, Bangladesh, Sri Lanka dan Pakistan perlu menjalani kuarantin wajib selama 21 hari di pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

Memburukkan situasi semasa lagi, baru-baru ini kerajaan India telah mengumumkan terdapat varian baharu COVID-19 yang dikenali sebagai Delta Plus pula yang kini telah menular di tiga negeri iaitu Maharashtra, Kerala dan Madhya Pradesh. Menurut Kementerian Kesihatan India, varian berkenaan dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) selain turut mengarahkan agar saringan dipertingkat terhadap kawasan terlibat.

Jika kita lihat di United Kingdom dan beberapa negara Eropah yang lain, varian Delta telah mengakibatkan banyak jangkitan baharu sekitar bulan ini dan bulan lepas walaupun pada awalnya negara-negara tersebut telah berjaya mengawal penularan jangkitan. Walaupun jangkitan sedang menular dengan pantas di UK, kadar kematian yang direkodkan sudah hampir ke angka 0 disebabkan oleh keberkesanan vaksin yang diberi.

Maka melihatkan situasi negara kita yang mana varian Delta masih belum menunjukkan tanda-tanda keredaan, kita amatlah mengharapkan agar lebih ramai rakyat Malaysia yang dapat mendaftar dan divaksin dengan kadar segera supaya kita mencapai herd immunity dengan pantas. Itu antara usaha kita untuk mengekang varian Delta yang dirasakan sudah menjadi satu ancaman global yang mampu mengekang kita untuk kembali kepada norma lama sebelum adanya pandemik ini.

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update