Input your search keywords and press Enter.

PENGURUSAN KRISIS DAN SIKAP SERTA PERANAN RAKYAT DALAM BERDEPAN DENGAN PANDEMIK COVID-19

Krisis bukan sesuatu yang dirancang tetapi ia boleh diuruskan dan diselesaikan dengan kaedah yang sesuai dan efisen sekiranya satu bentuk pengurusan krisis diambil diperingkat awal bagi mengurangkan kesannya terutama ke atas imej dan reputasi sesebuah organisasi atau pemimpin. Penularan pandemik Covid-19 perlu dilihat sebagai satu krisis yang bersifat dinamik dan adakalanya ia menjadi satu masalah yang diluar jangka walaupun beberapa pendekatan dan kaedah telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam mengurus penularan wabak ini yang sedang melanda di seluruh dunia. Beberapa pendekatan yang digunakan di luar negara yang dilihat berjaya dilaksanakan di sana turut digunakan di negara kita tetapi berikutan dengan penularan yang terlalu pantas akibat beberapa kluster yang wujud disebabkan keingkaran dan sikap segelintir pihak yang tidak mematuhi SOP menjadikan kes seharian semakin meningkat ke satu angka yang tidak pernah dijangka sebelum ini. Peringatan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menekankan bahawa jumlah kes akan semakin meningkat sekiranya sikap yang sama berlaku dan tindakan luar biasa tidak diambil dikhuatiri pengurusan krisis ini akan menjadi bertambah buruk bukan sahaja memberi kesan ke atas keselamatan nyawa tetapi juga keadaan ekonomi pada hari ini.

Disamping itu, peranan masyarakat juga amat penting dalam pengurusan krisis hari ini. Kita tidak boleh meletakkan sepenuhnya tanggungjawab dalam mengurus krisis ini diatas bahu kerajaan dan juga petugas barisan hadapan kita. Sebagai ahli masyarakat yang prihatin dan cakna, peranan kita bukan sahaja menurunkan kes seharian dalam kehidupan kita seharian tetapi berperanan sebagai ahli yang jujur dan berhemah dalam menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat. Kegagalan kita dalam menentu dan mengesahkan keasilan sesebuah maklumat mampu memberi kesan buruk. Sudah lebih setahun kita berdepan dengan keadaan ini dan sepatutnya kita lebih prihatin, peka dan lebih bersikap empati dengan keadaan yang kita hadapi. Simpati dan empati kita boleh menyelamatkan banyak nyawa dengan mengamalkan dan melaksanakan apa yang diarah oleh pihak kerajaan terutamanya dalam tempoh perintah berkurung (PKP 3.0).

Ia benar, ada ahli masyarakat yang hilang rasa empati mereka dengan melanggar perintah dan arahan malah ada individu yang bertindak agresif apabila ditegur gagal memakai pelitup muka ketika memasuki premis. Tindakan agresif dan bebal ini tidak akan membantu kita tetapi akan mengeruhkan lagi pengurusan krisis ditahap kritikal. Sekiranya jumlah kes harian meningkat ke angka 10,000 bayangkan berapa kerugian yang akan kita tanggung sama ada dari sudut ekonomi dan juga keselamatan nyawa. Ada juga yang bersikap sinikal dengan keadaan pengurusan krisis hari ini. Apa juga pandangan kita sama ada bersikap positif dan negatif perlu dinormalisasikan atau dineutralkan dan boleh memberikan manafaat bersama terutamanya dipihak kerajaan yang perlu sentiasa mendengar suara-suara sinikal ini dalam pelbagai medium sedia ada. Suara-suara ini adakalanya mewakili majoriti masyarakat dan ada juga suara-suara nakal yang cuba mengusik kerajaan dengan pendekatan yang berbeza bagi melihat kedudukan kerajaan dalam menguruskan krisis yang berlaku.

Perlu diingatkan lagi, pengurusan krisis ini akan bertambah buruk sekiranya kluster yang sama masih lagi wujud. Walaupun tindakan ketat dikenakan dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di lokaliti yang mempunyai kluster yang tinggi. Disini jangan kita mementingkan diri dengan mewujudkan SOP kita sendiri sedangkan virus ini sedang mengalami proses mutasi yang menghasilkan varian-varian baru. Kedegilan kita dalam menafikan tindakan kita sebagai ahli masyarakat boleh mencetuskan gelombang baru yang akan memberikan mudarat besar dalam komuniti kita terutama dalam kalangan keluarga kita sendiri. Dan sikap bebal ini juga akan memberikan kerugian pada kita juga. Perlukah kita menonton lebih banyak video-video pendek yang memaparkan kematian dalam kalangan ahli keluarga sendiri? Dan perlukah kita berkongsi pengalaman kita dalam media sosial mengenai kehilangan yang kita rasai hari ini. Kesilapan dan kealpaan kita boleh mengeruhkan lagi keadaan walaupun program vaksinasi sedang giat dilaksanakan dipelbagai peringkat. Kesemua ini menuntut untuk kita bertindak lebih rasional dan proaktif sekiranya kita mahu keluar daripada krisis yang berlaku ini.

Oleh itu, peranan setiap pihak adalah amat penting bukan sahaja dalam menangani penularan wabak Covid-19 tetapi memastikan keselamatan komuniti disekeliling kita juga turut terjamin. Dalam waktu kritikal, peranan semua pihak adalah amat penting untuk kita memastikan krisis ini dapat diredakan segera bagi mengurangkan keresahan dan kebimbangan mengenai masa depan dan nasib kita semua. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update