Input your search keywords and press Enter.

Pulau Pinang Beralih Ke Fasa Dua PPN Bermula Esok

M Update, 06/07/2021 – Pulau Pinang akan memasuki fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa pada 7 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peralihan fasa secara berperingkat itu bergantung kepada nilai ambang tiga indikator utama. Menurutnya, indikator utama itu melibatkan keadaan kadar penularan Covid-19 dalam komuniti, kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan peratusan populasi yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

“Berdasarkan tiga indikator ini dan penilaian terperinci agensi-agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan peralihan fasa PPN bagi negeri Pulau Pinang berkuat kuasa 7 Julai 2021,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan sebanyak dua lokaliti melibatkan Kelantan dan Sabah akan dikenakan PKPD bermula pada Rabu hingga 20 Julai. Katanya, ia melibatkan kawasan Kampung Bagus, Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan dan Kampung Baru Batu 2, Jalan Apas di Tawau Sabah. Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan penduduk berisiko dijangkiti Covid-19 kekal berada dalam kawasan,” ujarnya. – SH Online