Input your search keywords and press Enter.

EU: Penerima Vaksin AstraZeneca Dibenar Masuki Negara Anggota

M Update, 08/07/2021 – Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) tetap membenarkan kemasukan individu yang sudah divaksinasi menggunakan vaksin AstraZeneca dikilangkan di fasiliti selain diiktiraf Agensi Perubatan Eropah (EMA).

Berikutan itu, Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas, menyifatkan beberapa laporan mengenai penerima vaksin AstraZeneca yang dikilangkan di fasiliti di Korea Selatan, Thailand dan Jepun, mungkin tidak boleh memasuki negara anggota EU sebagai kurang tepat.

Rokas berkata, kebenaran memasuki negara anggota itu turut merangkumi mana-mana individu menerima vaksin yang sudah disenaraikan dalam Penyenaraian Penggunaan Kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berkata, Sijil Digital COVID-19 EU yang diperkenalkan itu bukanlah satu-satunya alat yang boleh digunakan untuk memasuki negara anggota, sebaliknya ia diwujudkan untuk memudahkan pergerakan dalam kesatuan itu sebagai satu bukti digital seseorang warga EU atau penduduk di negara ahli sudah menerima vaksin COVID-19 atau menerima keputusan negatif untuk ujian saringan atau sudah sembuh daripada jangkitan. Katanya, sijil itu bukan prasyarat perjalanan dalam EU atau sebagai satu dokumen wajib, sebaliknya sebagai satu alat praktikal.

“Negara anggota bebas menerima dokumentasi dikeluarkan di negara ketiga untuk vaksinasi. Dokumen dikeluarkan itu mesti mengandungi maklumat sekurang-kurangnya dapat mengenal pasti individu berkenaan, jenis vaksin dan tarikh pentadbiran vaksin berkenaan. Menerusi sijil itu juga, ia boleh mengesahkan seseorang individu sudah pulih daripada virus COVID-19 atau ujian dijalankan terhadapnya mendapat keputusan negatif.

“Ia juga boleh berfungsi sebagai bukti risiko epidemiologi rendah atau bergantung pada undang-undang berkuat kuasa di negara anggota dikunjungi,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata, Malaysia akan meminta penjelasan lanjut daripada EU berhubung dakwaan Sijil Digital COVID-19 EU hanya mengiktiraf vaksin AstraZeneca diluluskan EMA.

Khairy berkata, Malaysia berpendirian jika sesuatu vaksin itu diiktiraf WHO, maka negara lain perlu memberi pengiktirafan kepada mereka yang menerima vaksin berkenaan. Rokas berkata, kemasukan individu ke negara EU juga terserah kepada negara terbabit memutuskan sama ada pelancong perlu menjalani proses kuarantin atau sebaliknya ketika memasuki negara berkenaan. Oleh kerana tidak ada senarai syarat umum, rakyat Malaysia yang ingin melancong ke EU perlu memeriksa syarat kemasukan untuk negara anggota yang ingin mereka kunjungi. – BH Online