M Update, 09/07/2021 – Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membuat peralihan untuk Sabah daripada fasa satu ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai esok.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempengerusikan sidang khas itu berkata, keputusan dibuat berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama PPN yang ditetapkan.
“Sidang khas MKN pada semalam sudah meneliti pembentangan peralihan fasa bagi negeri di bawah PPN oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Selepas semua agensi terbabit termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti nilai ambang negeri ini, Sidang Khas MKN bersetuju untuk membuat peralihan fasa bagi Sabah daripada fasa satu ke fasa dua,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Katanya, maklumat lanjut mengenai semua kebenaran yang ditetapkan bagi Fasa Dua boleh dirujuk di laman web rasmi MKN di www.mkn.gov.my. – HM Online