Input your search keywords and press Enter.

30 Warga Asing Hadir Jamuan Aidiladha Ditahan

M Update, 21/07/2021 – Seramai 30 warga asing dan seorang wanita tempatan ditahan selepas menghadiri jamuan Aidiladha di Taman Selayang Utama, Batu Caves, semalam.

Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, menyerbu sebuah rumah pada jam 10 pagi, sebaik menerima maklumat daripada penduduk di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata ketika serbuan pihak polis mendapati semua 30 warga asing terbabit termasuk seorang wanita tempatan berumur antara 20 hingga 40 tahun mengadakan jamuan makan sempena Aidiladha.

“Siasatan awal kita mendapati empat daripada mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah, enam memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sudah tamat tempoh, manakala 20 lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.

“Mereka dikesan melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu dengan berkumpul dan gagal mengamalkan penjarakan sosial, memiliki PLKS tamat tempoh dan tidak memiliki dokumen perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal Mohamed berkata, semua 29 warga asing lelaki dan seorang wanita itu dibawa ke IPD Gombak untuk siasatan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebak ke jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa; Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen iaitu tidak memiliki pas atau permit sah tinggal di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal di Malaysia melebihi masa dibenarkan,” katanya.

Semua tangkapan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang, hari ini, bagi permohonan reman.

Wanita tempatan yang ditahan itu pula dikenakan kompaun RM4,000 mengikut Perkara 16 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021. – BH Online