Input your search keywords and press Enter.

Petugas Penat Mungkin Punca Suntik Picagari Kosong – KKM

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 21/07/2021 – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan dakwaan tiga kes individu disuntik picagari kosong di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berpunca daripada keletihan dihadapi petugas dan sukarelawan yang juga disifatkan barisan hadapan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata justeru semua petugas disarankan supaya memaklumkan keadaan diri masing-masing sekiranya mengalami kepenatan dan berasa perlu mendapatkan rehat secukupnya sebelum menyambung semula tugas.

“Kita lakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, tetapi apabila sudah letih kita perlu beritahu supaya dapat ‘direhatkan’. Jika teruskan juga tugasan dalam keadaan letih, maka berlakulah hasil kerja yang tidak produktif atau terbaik. Dalam isu ini ia membabitkan nyawa orang lain, jadi kita perlu bercakap dan berkongsi mengenai masalah yang dihadapi, jangan diam saja sebaliknya minta untuk direhatkan jika letih.

“Benar, sememangnya kita juga ‘stress’ (tertekan) berkaitan masalah sumber manusia, namun KKM sentiasa berfikir dan dinamik umpamanya akan ‘mobilize’ (menggerakkan) petugas dari tempat (PPV) kurang sibuk ke PPV yang sibuk,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena lawatan kerja ke PPV Awam Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), di sini, hari ini. – BH Online