Input your search keywords and press Enter.

Akta 342 Diguna Kawal COVID-19 Selepas 1 Ogos

M Update, 28/7/2021 – Pembatalan Ordinan Darurat atau penamatan Proklamasi Darurat tidak akan memberi kesan terhadap usaha kerajaan mencegah dan mengawal penularan COVID-19.

Ini berikutan kerajaan masih boleh menggunakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang kali pertama diwartakan pada Mac tahun lalu dan digunakan untuk menguatkuasakan semua perintah berkaitan COVID-19 sebelum Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dikuatkuasakan pada 11 Januari lalu.

Semakan BH pada laman sesawang Pejabat Peguam Negara mendapati Warta Kerajaan Persekutuan bagi Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) itu digazetkan pada 22 Julai lalu.

Menurut warta itu, kuat kuasa Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang berakhir pada 1 Ogos 2021 akan dilanjutkan bagi tempoh 2 Ogos 2021 hingga 31 Disember 2021.

Perintah itu dibuat Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengikut Seksyen 11 Akta 342. Berikutan itu, penguatkuasaan sebarang peraturan, termasuk kompaun yang sebelum ini dikenakan terhadap manamana pihak yang melanggar Akta 342 akan diteruskan selepas 2 Ogos ini sehingga 31 Disember ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata menerusi warta itu, usaha mengawal penularan COVID-19 menerusi aktiviti penguatkuasaan selepas tempoh darurat 1 Ogos ini boleh diteruskan menggunakan Akta 342.

Selain itu katanya, Akta Polis 1967 (Akta 344) juga boleh digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengawal pergerakan orang awam, termasuk aktiviti rentas daerah dan negeri bagi mencegah penularan wabak berkenaan.

“Sebelum ini di bawah Ordinan Darurat nilai kompaun yang dikenakan lebih tinggi sehingga RM50,000, malah kuasa (memberi kompaun) juga diturunkan kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) dan pegawai kesihatan. Selepas ini (bermula 2 Ogos) kita bergantung kepada Akta 342 bagi kesihatan dengan nilai kompaun RM1,000 untuk semua tidak kira siapa. Akta 344 pula untuk polis berkaitan pergerakan orang ramai,” katanya.

Beliau akui, cabaran sememangnya dilalui kerajaan terutama dalam berdepan individu yang ingkar terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Dulu bila hukuman (denda) kita naikkan jadi lebih tinggi, mereka yang ingkar ini ada rasa takut dan mula patuh kepada SOP. Tapi selepas ini hukuman akan kembali seperti asal dulu, melainkan jika ada pindaan di Parlimen,” katanya.

Sementara itu, peguam, T Vicknaraj, berkata warta itu mengesahkan kuasa yang dilaksanakan Menteri Kesihatan mengikut Akta 342, tanpa perlu melalui Parlimen.

“Ia juga bermakna, pengisytiharan Proklamasi Darurat atau pembatalannya tidak akan memberi kesan kepada perintah ini kecuali kerajaan sedia ada diisytiharkan sebagai kerajaan yang tidak sah,” katanya.

Kelmarin, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan tempoh Proklamasi Darurat, yang tamat pada 1 Ogos ini.

Kerajaan turut membatalkan enam ordinan yang dibuat semasa Proklamasi Darurat, berkuat kuasa 21 Julai lalu.

Sumber : Berita Harian Online