Input your search keywords and press Enter.

Laporan: Keberkesanan Ivermectin Masih Diragui & Lebih Banyak Kajian Diperlukan

Laporan terbaharu mengesahkan bahawa penggunaan Ivermectin bagi mencegah dan mengubati jangkitan Covid-19 masih belum dapat disahkan dan kajian klinikal yang lebih lanjut diperlukan untuk menguji keberkesanan ubat ini.

Kajian yang dibuat oleh Cochrane Library semalam melaporkan bahawa daripada 14 ujian yang dibuat, pakar masih belum dapat memastikan dan mengesahkan Ivermectin mampu serta selamat untuk menyembuhkan dan mencegah jangkitan Covid-19 ini.

Keputusan daripada kajian yang melibatkan 1687 pesakit itu menguji penggunaan Ivermectin berbanding penggunaan ubat standard, plasebo, ubat yang terbukti berkesan dan tiada penggunaan ubat langsung. Selain itu, Ivermectin turut diuji untuk melihat keberkesanannya mencegah sindrom SARS-CoV-2. Buat masa sekarang terdapat 31 lagi kajian klinikal melibatkan Ivermectin yang masih dijalankan.

Penulis kajian melaporkan bahawa Ivermectin masih belum menunjukkan keberkesanan dalam merawat pesakit Covid-19 di hospital berbanding penggunaan ubatan standard dan masih belum mampu untuk menyembuhkan mahupun mengelakkan dan mengurangkan kematian. Ivermectin juga tidak dapat membuktikan sama ada penggunaan selepas 7 hari dapat mengurangkan keputusan positif swab Covid-19.

Buat masa sekarang, pengkaji ubat Ivermectin ini sebulat suara berpendapat bahawa kajian klinikal yang dijalankan masih tidak mampu membuktikan bahawa ubat ini boleh menyembuh dan mencegah jangkitan Covid-19 seperti yang diuar-uarkan di dalam dan luar media sosial. Penggunaan ubatan yang tiada jaminan keselamatan dan keberkesanan oleh badan kesihatan dunia dan pakar perubatan hanya akan mengancam nyawa pesakit.

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update