Input your search keywords and press Enter.

Pfizer, Moderna Naikkan Harga Vaksin Di Eropah

M Update, 02/08/2021 – Syarikat pengeluar vaksin, Pfizer Inc dan Moderna Inc menaikkan harga vaksin COVID-19 dalam kontrak pembekalan kepada negara-negara Kesatuan Eropah (EU), lapor The Financial Times, semalam.

Menurut akhbar itu, berdasarkan sebahagian kontrak yang dilihat, harga baharu bagi suntikan Pfizer adalah €19.50 (RM97.76) berbanding harga lama €15.50.

Harga vaksin Moderna pula adalah AS$25.50 (RM107.78) bagi setiap dos, meningkat daripada €19 (RM95.26) dalam perjanjian perolehan pertama tetapi lebih rendah berbanding AS$28.50 (RM120.46) yang dipersetujui sebelumnya berikutan peningkatan permintaan, menurut laporan itu yang memetik sumber daripada pegawai terdekat.

Pfizer bagaimanapun enggan mengulas mengenai kontrak dengan Suruhanjaya Eropah atas alasan kerahsiaan.

Suruhanjaya Eropah Selasa lalu dilaporkan berkata, EU sedang menuju sasaran untuk memvaksinasi sekurang-kurangnya 70 peratus populasi dewasa menjelang akhir musim panas.

Mei lalu, EU dilaporkan berkata pihaknya menjangkakan akan menerima lebih satu bilion dos vaksin menjelang akhir September daripada empat pengeluar vaksin. – BH Online