Input your search keywords and press Enter.

Lubuk Transit Nelayan Indonesia Digempur!

Foto : Jabatan Imigresen

M Update, 4/10/2019 – Menceroboh masuk ke perairan Malaysia dan kemudian tinggal bersembunyi di beberapa penempatan transit bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Itu taktik digunakan nelayan dari Indonesia untuk mencuri hasil laut di kawasan perairan Selat Melaka dengan menjadikan beberapa rumah atas air di Pulau Ketam di Pelabuhan Klang, Selangor sebagai rumah transit mereka. Mereka dipercayai akan tinggal di penempatan berkenaan untuk beberapa hari dan berulang-alik ke laut untuk menangkap ikan sebelum pulang ke negara asal apabila mendapat hasil mencukupi.

Bagaimanapun, penempatan transit itu digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Ops Bersepadu, 3 pagi semalam. Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan membabitkan 17 pegawai Imigresen dan 10 pegawai itu, sebanyak lima rumah transit berkenaan digempur. Katanya, seramai 26 warga Indonesia membabitkan 20 lelaki dan enam wanita berusia antara 20 hingga 50-an berjaya ditahan.

“Menerusi risikan dijalankan, penempatan transit itu digunakan sebagai tempat tinggal sementara nelayan, penjaga kelong, tekong bot serta awak-awak sepanjang menangkap ikan secara haram di Selat Melaka.

Rumah itu digunakan mereka yang terdiri daripada nelayan untuk berlindung sepanjang menjalankan kegiatan mencuri hasil laut di negara ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, penempatan itu dikenal pasti sebagai kawasan ‘Zon Merah’ iaitu kawasan berisiko tinggi berikutan warga asing di situ akan bertindak agresif bagi mengelak ditahan pihak berkuasa. Katanya, rumah atas air berkenaan didirikan menggunakan papan turut mempunyai beberapa pintu rahsia di sekelilingnya bagi memudahkan mereka melarikan diri jika diserbu pihak berkuasa. Oleh kerana kawasan penempatan itu dibina di atas air di kawasan pesisir pantai, ia memang menjadi lokasi strategik warga asing untuk bersembunyi. Malah, di bawah rumah mereka yang berselut dan berlumpur juga penuh dengan benda tajam,” katanya.

Khairul berkata, ketika serbuan dijalankan, ada warga asing berkenaan bertindak memanjat bumbung serta berlari di bahagian bawah rumah bagi mengelak ditahan pihak berkuasa. Namun, mereka berjaya ditahan dan kini ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil mengikut kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966. – HM Online

Leave a Reply