Input your search keywords and press Enter.

Berjaya Tembusi Fasa 3 PPN Malaysia: Perlis Buktikan Ianya Negeri Indera Kayangan!

Selama ni jika dari zaman sekolah lagi kita sibuk menghafal negeri-negeri di Malaysia bersama darul-darulnya, hari ini ternyata ramai rakyat Malaysia yang kagum apabila cakap-cakap mulut dan hafalan kita ni tentang darul-darul ni berupa satu doa bila mana Perlis dan warganya berjaya membuktikan mereka dari golongan kayangan apabila menjadi antara negeri yang telah menembusi fasa ke 3 PPN atau Pelan Pemulihan Negara, dan penduduknya kini dibenarkan untuk menjamu selera di restoran-restoran sekitar negeri itu berkuatkuasa 4 Ogos 2021! Selain Perlis, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak Bumi Kenyalang/Darul Hana (bermaksud negeri yang aman) turut sama menunjukkan prestasi yang amat cemerlang dengan bilang jangkitan yang semakin menurun hasil pematuhan SOP yang sangat memuaskan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada tiga negeri yang beralih ke Fasa 3 PPN.

“Suka untuk saya mengingatkan agar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan terus dipatuhi dan semua usaha untuk menambahbaik situasi pandemik di negeri masing-masing diteruskan.

“Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya. Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada 2 Ogos lepas.

Peralihan negeri ke setiap fasa dalam PPN ditentukan dalam tiga indikator nilai ambang seperti kes harian COVID-19 di bawah 4,000, peningkatan kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan liputan vaksinasi dua dos merangkumi 10 peratus daripada populasi sesebuah negeri. Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof, berkata sehingga kini, berdasarkan peratusan individu berusia 18 tahun ke atas yang sudah menerima vaksin di negeri ini adalah 37.7 peratus.

Tinjauan di media sosial mendapati ramai warga net dari negeri lain sememangnya ‘iri hati’ dan ‘panas’ melihat gambar-gambar dine-in yang dimuatnaik oleh warga Perlis, persis golongan kayangan yang mempunyai keistimewaan yang tidak dapat dibuat oleh warga marhaen dari negeri lain yang masih teruk dilanda badai Covid-19. Siapa sangka aktiviti-aktiviti yang dahulunya kita anggap rutin dan take for granted seperti makan di luar dan lepak di mamak kini menjadi aktiviti yang terpaksa disekat dan sangat-sangat dirindui oleh semua.

Jadi apa lagi yang kita nak tunggu wahai rakyat jelata dari darul-darul yang lain seperti Darul Naim, Darul Iman, Darul Aman, Pulau Mutiara, Darul Ridzuan, Darul Makmur, Bandaraya Bersejarah, Darul Khusus, Darul Ehsan, KL & Putrajaya, Darul Takzim dan negeri Di Bawah Bayu sekalian, moh ler kita sama-sama jaga SOP, lengkapkan vaksinasi, jangan rentas negeri dan daerah jika tiada keperluan dan berdoalah semoga kita turut sama berada dalam kategori golongan kayangan juga bak Perlis, Labuan dan Sarawak dalam masa terdekat ni. Ya, 20 ribu yang direkodkan semalam memang sudah cukup menggerunkan, tapi sebagai orang Islam kita haruslah berdoa, bertawakal dan percaya bahawa Allah sebaik-baik perancang dan doa itu adalah senjata orang mukmin.

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update