Input your search keywords and press Enter.

Jangan Salah Guna Sijil Digital Vaksin Anda!

Semalam PM kita telah mengumumkan kelonggaran bagi mereka yang telah lengkap divaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan atau PICK.Sememangnya berita yang diumumkan oleh PM adalah berita yang ditunggu-tunggu oleh rakyat setelah dilaporkan seramai lebih 8 juta rakyat Malaysia yang sudah lengkap 2 dos vaksin Covid-19 ini. Kita memang perlu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan PM kita kerana kita macam dah nampak progres dan sinar harapan yang telah diusahakan oleh kerajaan bagi menangani Covid ni. Kita bermula dengan PKP kemudian PKPD dan PKPB kemudian ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) pula yang terdiri daripada 4 fasa. PPN pula diselaraskan dengan program PICK untuk memantapkan lagi program imunisasi supaya Malaysia akan mencapai herd immunity dalam masa yang cepat insyaAllah.

Berbalik kepada kemudahan bagi mereka yang sudahpun mempunyai sijil digital vaksin, perlu diingatkan bahawa kelonggaran ini hanya terpakai buat penerima dos lengkap yang melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua (Vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac). Manakala bagi penerima vaksin satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino) perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan. Buat masa sekarang, kedudukan negeri-negeri beserta fasa-fasanya adalah seperti di bawah:

Fasa 1 PPN: Kedah, Selangor, WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor
Fasa 2 PPN: Pulau Pinang, Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah
Fasa 3 PPN: Perlis, WP Labuan, Sarawak
Fasa 4 PPN: Tiada negeri

1. Untuk semua negeri dalam PPN:

  • Pengembara warganegara/bukan warganegara termasuk Pemastautin Tetap atau peserta Malaysia MY Second Home) dan lengkap vaksin dibenar kuarantin wajib di rumah guna HSO digital.
  • Pasangan jarak jauh (PJJ) lengkap dua dos dibenarkan rentas daerah dan negeri bertemu pasangan masing-masing.
  • Ibu bapa lengkap dua dos dibenar rentas daerah/negeri berjumpa anak di bawah umur 18 tahun.
  • Aktiviti solat di masjid dan surau dibenarkan untuk penerima lengkap dua dos vaksin sahaja. (Juga terpakai bagi rumah ibadah bukan Islam.)

2. Aktiviti sosial untuk negeri Fasa 2 dan 3 PPN:

  • Rentas daerah dibenarkan, hanya tunjuk sijil digital vaksin lengkap kepada pasukan penguatkuasa di sekatan jalan raya.
  • ‘Dine-in’ di restoran, kedai makan, club house dibenarkan. Pelanggan perlu tunjuk sijil digital vaksin lengkap.
  • Pengusaha premis kedai makan diminta menyediakan lebih banyak ruang makan di bahagian luar premis bagi memastikan pengudaraan lebih baik.
  • Anak di bawah 17 tahun boleh dibawa ‘dine-in’ tetapi perlu mematuhi SOP ketat.
  • Aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan dibenarkan di kawasan terbuka termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.
  • Operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house tidak dibenarkan.
  • Jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya dibenarkan.
  • Aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan melibatkan ‘homestay’ dan hotel untuk penerima lengkap dua dos vaksin.

Tapi awas ya semua, jangan cepat sangat excited dengan kebenaran yang telah diumumkan kerajaan ini kerana kita tahu yang Covid-19 telah bermutasi dengan pelbagai varian yang merisaukan. Buat masa sekarang rakyat yang telah lengkap divaksin dengan 2 dos diingatkan supaya jangan tergesa-gesa untuk merentas daerah sesuka hati dan patuhlah dengan SOP yang telah ditetapkan. Sentiasa ingatkan diri dan orang yang tersayang bahawa virus ini tak dapat dilihat dengan mata kasar dan sesiapa sahaja boleh menjadi pembawa virus jika aspek keselamatan dan SOP tidak diendahkan. Kita haruslah akur bahawa kita perlu hidup bersama-sama dengan Covid-19 maka ikhtiar terbaik untuk tidak dijangkiti adalah dengan pengamalan penjagaan kesihatan dan keselamatan yang ketat untuk diri sendiri dan orang sekeliling.

Akhir kata, janganlah salahguna Sijil Digital Vaksin anda dengan melilau ke sana ke sini tanpa arah tujuan. Pastikan anda merancang perjalanan dengan meletakkan aspek keselamatan diri sendiri dan keluarga serta mempraktikkan amalan SOP yang ketat sebelum ke mana-mana. Kita pernah mencapai sifar kes sebelum ini dan sememangnya kita mesti dan boleh menang dalam jihad menentang wabak Covid-19 ini.

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update