Input your search keywords and press Enter.

Hanya Tunjuk Sijil Digital Vaksinasi, Tidak Perlu Dicetak

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 11/08/2021 – Individu yang lengkap menerima vaksin Covid-19 hanya perlu menunjukkan sijil digital vaksinasi yang dipaparkan di aplikasi MySejahtera sekiranya ingin melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah mahupun aktiviti sosial lain.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, tiada keperluan untuk masyarakat mencetak sijil digital berkenaan kerana tindakan itu boleh mengelirukan.

“Mereka boleh tunjuk sijil digital di MySejahtera ketika ini tanpa perlu mencetaknya. Semua pihak mahu membuat perkhidmatan berbayar sedangkan tidak perlu langsung untuk mencetak. Cukup sekadar menunjukkan sijil berkenaan di telefon bimbit masing-masing kepada penguat kuasa termasuk di sekatan jalan raya (SJR),” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam Dewan Kemas Gopeng di sini pada Rabu.

Menurutnya, selain sijil digital, orang ramai boleh menunjukkan kad vaksinasi yang diterima selepas suntikan dibuat.

“Masing-masing ada kad itu dan saya pernah jumpa rakyat yang ‘laminate’ kad berkenaan untuk disimpan seperti MyKad. Itu juga sebagai bukti sekiranya telefon bimbit kehabisan bateri dan sebagainya. Guna kad yang diberikan dan bukannya yang dicipta atau dijual. Setakat ini, hanya itu sahaja kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis akan menjalankan siasatan terhadap penjualan sijil digital vaksinasi palsu tersebut termasuk di platform e-dagang. Tindakan itu boleh membuatkan orang menipu mengatakan mereka terima dua dos. KKM tidak membuat perolehan kepada mana-mana pihak untuk mengeluarkan kad vaksinasi untuk ditunjukkan. – Sinar Harian Online