Input your search keywords and press Enter.

Teka-Teki Siapa Perdana Menteri ke-9

M Update, 19/08/2021 – Teka-teki siapa Perdana Menteri ke-9 mungkin berakhir hari ini.

Ini kerana Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipercayai berjaya mengumpul jumlah surat akuan (SD) tertinggi iaitu 114 sokongan, sekali gus bakal mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Menerusi satu tangkap layar pengesahan daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang tular di aplikasi WhatsApp, kesemua 114 ahli Dewan Rakyat itu akan dipanggil ke Istana Negara hari ini.

Sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini, oleh 114 Ahli Parlimen dijadualkan berlangsung secara berperingkat membabitkan lima kumpulan.

Kumpulan pertama terdiri daripada 24 Ahli Parlimen GPS dan UMNO akan bermula pada jam 10 pagi diikuti 25 ahli Parlimen UMNO, BERSATU dan Bebas pada jam 11.10 pagi.

Ini diikuti kumpulan ketiga 25 Ahli Parlimen UMNO dan BERSATU pada jam 2 petang, diikuti 22 ahli Parlimen UMNO, MCA, MIC, PBRS, PBS, STAR dan Bebas pada jam 3.10 petang.

Seramai 18 Ahli Parlimen PAS menjadi kumpulan terakhir menghadap Seri Paduka pada jam 4 petang.

Sesi menghadap hari ini bertujuan mengesahkan surat akuan sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – BH Online