M Update, 23/08/2021 – Jasad mangsa tragedi kepala air dan banjir lumpur di kaki Gunung Jerai yang dikenal pasti sebagai Ridwan Poniman, 61, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Unit Storm dan Must Team Bomba, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, jasad mangsa ditemui pada jarak kira-kira 400 meter dari Pusat Kawalan Bencana (PKB) di Titi Hayun.
“(Jasad) berjaya dikeluarkan pada kira-kira jam 1.30 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk urusan seterusnya pada jam 1.45 petang tadi, sebelum dihantar ke Hospital Yan.
Kami membuat pencarian di tempat itu dan kita temui mayat di atas timbunan kayu,” ujarnya. Dengan penemuan mayat terakhir itu, mengesahkan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi itu seramai enam orang, sementara seorang lagi berjaya diselamatkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempat singgah dan menyaksikan operasi mengeluarkan mayat mangsa oleh pasukan penyelamat.
Mangsa pertama, Ahmad Din, 68, ditemui jam 6.30 petang di Kampung Setol manakala mangsa kedua, Shahruzi Mohamad, 53, ditemui di Kilometer 8, Gunung Jerai jam 11 malam, dan mangsa ketiga, Zainol Morad, 66, di Kampung Titi Hayun jam 12.30 tengah malam.
Selain itu, mangsa keempat, Mohd Faizal Mohd Zohir, 28, ditemui jam 3.10 petang di Keda Sungai Udang Khamis lalu,manakala mayat kelima, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, ditemui di Batu Hampar jam 3.17 petang semalam. – Astro Awani