Input your search keywords and press Enter.

GKV STF Mahu Guna Aplikasi Geofencing Untuk Pantau Pergerakan Pesakit COVID-19

Brigedier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen

M Update, 24/08/2021 – Pesakit COVID-19 tahap 1 dan 2 yang sepatutnya menjalani kuarantin di rumah akan terus ‘diangkut’ ke pusat kuarantin sekiranya mereka enggan atau gagal mengaktifkan aplikasi ‘geofencing’ yang akan diwajibkan penggunaannya tidak lama lagi.

Komander Bersama Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF), Brigedier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen, berkata tindakan itu akan diambil memandangkan kes di Lembah Klang masih terlalu tinggi dan keperluan bagi tindakan tegas untuk mengawal jangkitan baharu.

Pihaknya sedar mengenai isu perlindungan data peribadi seperti yang dibangkitkan namun aplikasi itu tidak membabitkan pihak ketiga sebaliknya hanya digunakan oleh pihak berkuasa sahaja.

“Kita akan mendapatkan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas Dasar Bencana yang memerlukan penggunaan aplikasi ini secara wajib dan membolehkan pengecualian Akta Perlindungan Peribadi bagi tujuan ini.

“Ketika ini, ia masih dalam percubaan dan di peringkat ini kita tidak menggunakan pesakit sebenar. Kebenaran MKN bagi pelaksanaan akan menyelesaikan isu perlindungan data peribadi, lagipun data yang ada hanya di gunakan oleh pihak berkuasa, bukan oleh mana-mana pihak ketiga.

“Sekiranya ada yang tidak setuju (mengaktifkan aplikasi), mereka akan dimasukkan terus ke pusat kuarantin atau berdepan kunjungan kerap. Ini adalah penyelesaian praktikal sekiranya kes masih sangat tinggi,” katanya.

Jumaat lalu, GKV STF dilapor akan memperkenalkan satu aplikasi ‘geofencing’ untuk memantau pergerakan pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 yang diarah menjalani kuarantin di rumah.

Bagaimanapun terdapat perhatian mengenai isu data perlindungan peribadi apabila aplikasi sedemikian berdepan larangan aplikasi menjejak lokasi oleh penyedia sistem operasi telefon bimbit malah Google Play dan Apple App Store turut melarang kewujudan aplikasi sedemikian untuk dimuat turun oleh pengguna telefon pintar.

Dr Mohd Arshil berkata, ketika ini setiap syarat bagi pelaksanaan inisiatif baharu ini akan diperhalusi sebelum ia diperluasakan.

Percubaan yang dilakukan secara dalaman ini adalah untuk menyempurnakan bahagian teknikal sebelum (sasaran dalam tempoh seminggu) sebelum kami laksanakan sepenuhnya,” katanya. Mengulas lanjut, beliau menegaskan, aplikasi ini dilaksanakan untuk memastikan penguatkuasaan bersasar dilaksanakan terhadap mereka yang melanggar arahan kuarantin COVID-19 dan memberikan risiko jangkitan kepada komuniti.

“Maksudnya, mereka yang melanggar dengan mematikan telefon atau ‘idle’ dengan terlalu lama mahupun membuang (uninstall) aplikasi atau menutup fungsi GPS (global positioning system), tindakan bersasar akan dilaksanakan. Sekiranya berlaku banyak pelanggaran di sesuatu lokasi atau daerah, penguatkuasaan udara yang diaktifkan,” katanya.

Beliau menjelaskan, pembangunan aplikasi ini tidak membabitkan kos tambahan kerana ia dilaksanakan mengikut kemampuan secara dalaman namun sistem penguatkuasan yang lebih canggih memerlukan kos masa dan wang ringgit. – BH Online