Input your search keywords and press Enter.

Barisan Kabinet Baharu Diumum Hari Ini

M Update, 27/08/2021 – Spekulasi berhubung nama anggota Kabinet baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal terjawab apabila pengumuman mengenainya akan dibuat hari ini.

Pembentukan Kabinet baharu itu akan diumumkan Ismail Sabri jam 11 pagi, manakala majlis angkat sumpah Menteri dan Timbalan Menteri akan berlangsung jam 2.30 petang, Isnin.

Perkara ini disahkan oleh Pejabat Perdana Menteri beberapa jam selepas Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang, semalam bagi mempersembah senarai nama anggota Kabinet baharu itu.

Istana Negara dalam satu hantaran di laman Facebook menyatakan, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima persembahan senarai anggota Kabinet baharu daripada Ismail Sabri.

Sesi menghadap itu berlangsung selama satu jam setengah bermula 11 pagi, iaitu yang kedua bagi Ismail Sabri selaku Perdana Menteri selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia, Sabtu lalu.

Terdahulu, Ismail Sabri dilihat memasuki perkarangan istana jam 10.53 pagi dengan diiringi tiga kenderaan lain dan kawalan polis trafik.

Selesai majlis menghadap, kumpulan media dilihat ‘berkampung’ di beberapa lokasi utama kerana menunggu kemungkinan pengumuman pembentukan Kabinet dibuat, termasuk di Istana Abdulaziz dan Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya.

Ismail Sabri yang tiba di Perdana Putra kira-kira jam 3.40 petang selepas kembali dari Pahang, hanya melambaikan tangannya kepada petugas media yang menunggu di sekitar bangunan itu.

Pejabat Perdana Menteri kemudian mengeluarkan kenyataan ringkas bahawa tiada pengumuman mengenai senarai Kabinet oleh Perdana Menteri, sebelum disusuli kenyataan kedua menyatakan ia akan diumumkan hari ini.

Kelmarin, Ismail Sabri dan parti pembangkang mencapai titik persamaan bagi mewujudkan keadaan lebih kondusif dalam pelbagai perkara demi rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

Kesepakatan itu dicapai menerusi pertemuan beliau bersama pimpinan utama Pakatan Harapan (PH) iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

Dalam pertemuan itu, Ismail Sabri berkata, pemimpin pembangkang bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif serta menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat. – BH Online