Input your search keywords and press Enter.

Pengunjung Kawasan Riadah Diarah Beredar Jika Vaksin Tidak Lengkap – Bukit Aman

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 17/09/2021 – Orang ramai yang mengunjungi kawasan riadah akan diarah untuk beredar jika tidak lengkap dua dos vaksin, kata Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman Datuk Mastor Mohd Ariff.

Beliau berkata polis telah menggerakkan pasukan pemantau di semua lokasi riadah yang menjadi tumpuan ramai bagi memastikan pengunjung lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 dan patuh prosedur operasi standard (SOP).  

“Sekiranya berdegil, mereka akan diarah beredar dari lokasi itu setelah diberi nasihat oleh polis. Kami faham rakyat tengah tertekan dan dalam menguatkuasakan undang-undang, sifat kemanusiaan itu penting dalam membantu masyarakat,” katanya semalam.

Mastor juga berkata pemantauan mendapati pengunjung di lokasi riadah agak berkurangan semalam, yang merupakan cuti umum sempena Hari Malaysia, berbanding pada Sabtu dan Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed pula berkata pihaknya mengeluarkan tujuh kompaun pelanggaran SOP dan 46 saman trafik terhadap pengunjung di kawasan air terjun Sungai Pisang di sini.

Kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada jarak fizikal antara satu sama lain,” menurutnya dalam kenyataan. – Bernama