Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Naikkan Bantuan Wang Ihsan Kepada RM1,000

M Update, 17/09/2021 – Kerajaan bersetuju menaikkan kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut (MTL) atau lain-lain bencana yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat JPBP yang dipengerusikan oleh beliau pada 13 September lepas.

Beliau berkata, pemberian bantuan itu adalah antara pendekatan baharu kerajaan dalam usaha menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi MTL yang dijangka berlaku pada awal November ini hingga penghujung Mac 2022, melibatkan negeri-negeri di Pantai Timur, Johor, Sabah, dan Sarawak.

“Pemberian bantuan ini bukanlah satu bentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami mangsa, tetapi untuk mengurangkan beban yang ditanggung. Inisiatif BWI ini dijangka meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah yang melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, keputusan menaikkan kadar bantuan itu juga membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa bencana ditambah dengan impak ekonomi rakyat akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, beliau berkata, atas dasar prihatin dan tanggungjawab kepada kerajaan negeri yang menghadapi kesukaran menguruskan bencana MTL sepanjang tahun, peruntukan Perbelanjaan Operasi Dalam MTL 2021/2022 juga akan disalur menggunakan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara berjumlah RM9.5 juta bagi membantu kelancaran proses dan memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara. – Bernama