Input your search keywords and press Enter.

Buka Semula Sempadan Negara Bergantung Penilaian KKM

M Update, 07/10/2021 – Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat penilaian risiko semasa jangkitan COVID-19 dalam negara sebelum sempadan antarabangsa dibuka semula.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata KKM juga akan mengambil kira maklumat situasi COVID-19 dari negara asal pengembara sebelum membenarkan kemasukan pengembara dari negara berkenaan.

Selain itu, katanya, kemasukan warganegara dan warga asing seperti pelajar, diplomat, golongan profesional serta pelabur asing sudah dibenarkan ketika Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, mulai Jun 2020.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebenaran masuk ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan syarat ditetapkan, termasuklah keperluan menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin disediakan.

“Di bawah Pelan Pemulihan Negara, kerajaan sentiasa menambah baik SOP berkaitan perkara ini dan bermula 12 Ogos lalu, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang telah menerima imunisasi lengkap boleh membuat permohonan menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman. Namun, kebenaran ini hanya boleh diberikan tertakluk kepada penilaian risiko oleh KKM dan pemohon masih perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum diberikan kebenaran berkenaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris mengenai persediaan membuka sempadan negara sebaik kadar kes harian COVID-19 berkurangan, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini. – BH Online