Input your search keywords and press Enter.

Penggunaan Kit Ujian Kendiri Hanya Untuk Pelajar Bergejala

M Update, 07/10/2021 – Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan pemberian kit ujian pantas (RTK-Antigen) air liur di sekolah harian hanya diberi kepada pelajar mengalami gejala tertentu yang boleh dikaitkan dengan COVID-19.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pemberian kit ujian kendiri itu tidak diberikan secara berkala di sekolah harian biasa, tidak seperti sekolah berasrama penuh, yang mana ujian saringan akan dilaksanakan tiga kali iaitu ketika pendaftaran, hari keenam dan hari ke-14.

“Bagi sekolah harian akan dilaksana sekiranya murid menunjukkan gejala. Kalau sampai sekolah nampak sihat, kemudian ada gejala, ini kita kena bagi kit ujian dan sekolah akan asingkan mereka sebelum kita mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya sudah berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM), kami bersetuju jika ada kes, kita akan rujuk kepada pejabat kesihatan daerah untuk menasihatkan pihak sekolah berhubung ketetapan yang boleh diambil,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Salim meminta KPM memberikan kit ujian kendiri secara berkala atau seminggu sekali kepada semua pelajar bagi memastikan pemantauan yang lebih berkesan dalam mengekang penularan COVID-19 di sekolah.

Menjawab soalan asal Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa), Radzi berkata KPM juga menetapkan supaya kit ujian saringan kendiri COVID-19 yang menggunakan air liur (saliva) saja akan dipertimbangkan, memandangkan penggunaan kit ini adalah lebih mudah dan selamat untuk murid.

Beliau berkata, memandangkan kit ujian saringan kendiri COVID-19 ini perlu dibekalkan di sekolah sebelum sesi persekolahan bermula pada Ahad lalu, atas faktor kesegeraan, KPM sudah mengemukakan permohonan untuk melaksanakan perolehan itu secara rundingan terus pada 9 Ogos lalu, membabitkan nilai kontrak keseluruhan berjumlah RM9.72 juta.

Katanya, selaras kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) dan berdasarkan keperluan jumlah stok yang tinggi iaitu sebanyak 800,000 unit kit ujian yang perlu penghantaran segera ke 140 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) seluruh negara, kaedah pembekalan dipecahkan kepada enam zon.

“Cadangan pembekalan mengikut zon ini dapat memastikan syarikat boleh membekal peralatan kit ujian dalam tempoh masa ditetapkan.

“Di samping itu, syarikat juga dapat memberikan tumpuan dan memastikan kelancaran pengurusan penghantaran dengan cekap dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, penghantaran kit ujian saringan kendiri ini sudah disempurnakan oleh semua syarikat ke 140 PPD dan JPN seluruh negara pada 25 September lalu, yang mana pembekalannya adalah untuk sesi pembukaan sekolah pada Oktober sehingga Disember ini. – BH Online