M Update, 08/10/2021 – Harga kit ujian kendiri Covid-19 yang sedia ada akan diturunkan lagi dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berbincang untuk menurunkan lagi harga.
Menurutnya, bagaimanapun ia mengambil sedikit masa peralihan untuk pembekal supaya mereka dapat menjual bekalan sedia ada terlebih dulu.
“Kali terakhir kita turun harga kit ujian itu, mereka beri pandangan tidak cukup masa untuk menjual bekalan sedia ada. Jadi saya sudah berbincang dengan menteri KPDNHEP yang mana kita sudah ada harga yang dicadangkan itu supaya ia menjadi harga siling,” katanya pada sidang media selepas lawatan rasmi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, hari ini.
Khairy berkata, ia supaya adil kepada pengguna dan pembekal apabila harga baru itu diumumkan nanti.
Harga asal kit ujian kendiri Covid-19 ketika diperkenalkan adalah RM39.90 sebelum kerajaan kemudiannya menetapkan harga siling kepada RM19.90.