M Update, 26/10/2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak mengehadkan pelancong asing yang akan menyertai Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi mulai 15 November ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata keputusan itu dibuat berikutan sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk pelancong perlu lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 dan menjalani ujian calitan sebelum dan ketika berada di negara ini.
“Jadi mereka tidak boleh sesuka hati melawat tempat atau kampung kerana sudah mempunyai jadual lawatan sendiri. Jika berlaku apa-apa, pengusaha pelancongan itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.
Nancy berkata, walaupun dalam laporan mengatakan kes COVID-19 dijangka meningkat, pihaknya percaya usaha membuka industri pelancongan di Langkawi dapat membantu menaikkan semula sektor itu. Katanya, apa yang penting adalah mengikut SOP yang ditetapkan terutama sentiasa memakai pelitup muka dan pembasmi kuman serta menjaga jarak.
“Sektor ini masih perlu dibuka untuk membantu rakyat dan pada masa sama ekonomi negara kerana jika kita tunggu lebih lama, ramai yang akan terus hilang pekerjaan. Jadi saya harap semua pihak dapat berfikir secara ilmiah dan wajar usaha yang dilakukan ini,” katanya.
Malah katanya, pemantauan yang dibuat pihaknya mendapati pengunjung yang ke Langkawi ketika ini juga dikesan tidak keluar atau berkumpul secara beramai-ramai serta ada yang memilih untuk hanya tinggal di tempat penginapan dan bermain di kolam mandi sahaja. Ini menunjukkan mereka mengambil langkah berhati-hati dan sekali gus membantu mengelak berlaku penularan dalam kalangan pengunjung di Langkawi,” katanya.
Nancy berkata, setakat ini pengusaha inap desa di Langkawi juga sudah menerima tempahan penginapan daripada pelancong luar negara termasuk Eropah dan Russia. Katanya, kementerian juga sudah berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan termasuk Emirates, Qatar dan Saudia berkenaan kemasukan pelancong.
“Malah kita juga turut terima tempahan rumah inap dari pelancong dari luar negara di lokasi-lokasi lain juga selain Langkawi. Ini menunjukkan keyakinan pelancong yang sudah bersedia masuk ke negara ini,” katanya.
Berkenaan ada pengusaha dalam sektor pelancongan yang masih tidak mahu mengambil pekerja kerana bimbang perusahaan perlu ditutup semula, Nancy berkata mereka sepatutnya mengambil peluang yang sudah diberikan kerajaan ketika ini. Katanya, apa yang penting adalah mengikuti SOP yang ditetapkan dan yakin yang sektor ini akan menunjukkan perkembangan baik nanti. – BH Online