Input your search keywords and press Enter.

PKP 2.0 : Polis Terengganu Adakan 25 SJR Di Seluruh Negeri

M Update, 21/01/21 – Polis Terengganu akan mengadakan 25 sekatan jalan raya (SJR) bermula 12.01 malam ini di seluruh negeri untuk mengehadkan pergerakan orang ramai serentak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata lima daripada 25 SJR itu akan diadakan selama 24 jam di sempadan negeri iaitu dua di Besut dan tiga di Kemaman.

“Tiga SJR di Kemaman ialah di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Perasing, Paya Berenjut dan Plaza Tol Cheneh manakala di Besut pula, dua SJR di Kampung Pachakan dan Kampung Tok Saboh.

“20 lagi SJR akan dilakukan secara bergerak dalam tempoh antara empat hingga enam jam di sesebuah lokasi iaitu empat di Setiu, Kuala Terengganu (tiga), Dungun (dua), Kemaman (satu), Marang (tiga), Hulu Terengganu (tiga) dan Besut (empat),” katanya dalam temu ramah menerusi Facebook Live Terengganu FM hari ini.

Beliau berkata sejak PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac tahun lepas, seramai 1,565 anggota pasukan keselamatan di seluruh negeri termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA dan Angkatan Tentera Malaysia telah terlibat dalam penugasan keseluruhan berkaitan COVID-19 dan SJR.

Roslee berkata polis Terengganu juga telah mengeluarkan 1,267 kompaun terhadap pelbagai kesalahan kerana melanggar SOP COVID-19 sejak 18 Mac lepas hingga 20 Jan (semalam).

Daripada 1,267 kompaun itu, Kuala Terengganu merekodkan jumlah tertinggi iaitu 563 kompaun diikuti Kemaman (192), Dungun (171), Marang (158), Besut (109), Hulu Terengganu (41) dan Setiu (33).

“Kebanyakan kompaun adalah kerana tidak memakai pelitup muka, tidak mendaftar nama di buku rekod premis, tidak menjaga jarak sosial dan kesalahan yang lain berkaitan SOP.

“Sebenarnya, kita cuba untuk menasihati dan mendidik masyarakat agar mereka faham mengenai kepentingan SOP itu. Kompaun adalah pilihan terakhir agar orang ramai lebih patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara demi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini,” katanya.