Kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang diterima baik oleh rakyat, dilihat turut menjadi antara faktor menyumbang kepada kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ia turut didorong rasa puas hati dan keyakinan rakyat terhadap Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Bajet 2022 dan gagasan Keluarga Malaysia yang diketengahkan oleh Naib Presiden UMNO itu.
Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), rakyat telah membuat penilaian terhadap corak kepemimpinan tiga kerajaan daripada blok parti berbeza dan akhirnya membuat pendirian bahawa BN masih yang terbaik.
Kita boleh lihat Perdana Menteri telah kemukakan banyak inisiatif dalam usaha meringankan beban rakyat ketika mereka berdepan masalah COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Rakyat dapat melihat inilah pemimpin dan parti politik yang boleh mereka bergantung harap untuk masa depan lebih meyakinkan.
Keyakinan rakyat itu sangat penting kerana mereka percaya bahawa BN dapat memberikan kestabilan kepada keadaan politik Melaka, enggan lagi melihat ketidakstabilan politik sehingga menjejaskan tumpuan ke arah menangani pandemik COVID-19 dan peluang ekonomi khususnya dari segi peluang pekerjaan dan juga pelaburan.
Ini dimanifestasikan melalui sokongan padu sehingga memungkinkan BN menang 21 kerusi yang bersamaan dengan pencapaian PRU-13.