Input your search keywords and press Enter.

RFID: Gantian Percuma Jika Rosak

Foto: Plus Malaysia Berhad

M Update, 20/01/2022 – Pengguna lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang mengalami kerosakan pelekat sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) akan menerima gantian pelekat itu secara percuma.

Isnin lepas, media melaporkan beberapa plaza tol di Lembah Klang termasuk Plaza Tol Putra Mahkota dan Sungai Besi sesak teruk ekoran kegagalan RFID berfungsi pada waktu puncak ketika hujan. Ini mengakibatkan ramai pengguna meluahkan rungutan dan PLUS telah mengambil tindakan penambahbaikan segera dengan menggandakan kehadiran petugas mereka di plaza tol selain meningkatkan keterlihatan papan tanda arah bagi pengenalan lorong RFID.

Ketika ini, petugas tambahan diletakkan di plaza tol bagi membantu mereka yang mengalami masalah dengan pelekat RFID mereka.

“Kita ada orang ‘standby’ (tunggu sedia) dengan peranti ‘hand held’ (pegang tangan), kalau RFID tidak dapat ‘detect’ (kesan), kita akan bantu beli satu kupon untuk pergi ke fitment (pusat pemasangan) Touch ‘n Go (TnG) yang terdekat untuk ‘check’ (periksa) RFID. Kalau waktu itu TnG masih tidak dapat ‘detect’, kita akan beri RFID ‘tag’ yang baharu secara percuma,” katanya kepada Bernama TV di sini pada Rabu. – Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid

Dalam pada itu, pengguna lebuh raya tidak perlu bimbang kerana kaedah pembayaran menggunakan kad TnG dan Smartag masih terdapat di kebanyakan plaza tol di seluruh negara. Berkenaan dengan harga pelekat RFID tersebut, harga RM35 itu telah ditetapkan oleh pihak TnG.

Projek perintis sistem RFID ini dilihat lebih menjimatkan kerana ia sifar penyenggaraan dan lebih selamat serta bayaran dihubungkan dengan akaun e-dompet yang boleh dibayar secara debit automatik. Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti dan bergerak di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan e-dompet Touch ‘n Go tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai. – Bernama