Input your search keywords and press Enter.

Lee Zii Jia Hantar Surat Tinggalkan BAM

M Update, 20/01/2022 – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia sudah menghantar surat peletakan jawatan untuk keluar daripada badan induk sukan badminton negara itu.

Kenyataan yang dibuat Pre­siden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria itu, sekali gus menjawab spekulasi berhubung masa depan pemenang kejohanan badminton Seluruh England (All England) tersebut. Pihaknya cuba untuk memujuk Zii Jia supaya terus kekal di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, namun pemain berusia 23 tahun itu tetap dengan pendirian untuk meninggalkan BAM.

“Pertama sekali saya mahu sahkan kita sudah terima surat peletakan jawatan daripada Zii Jia pada 11 Januari. Selepas itu, ada siri perbincangan antara dia dengan saya dan Datuk Kenny (Goh) untuk pujuk supaya kekal. Bagaimanapun, Zii Jia sendiri cakap dia bukanlah (Datuk) Lee Chong Wei dan tidak tahan de­ngan tekanan selain mahu capai impiannya itu dengan cara sen­diri tanpa kekangan rejim latihan BAM.

BAM juga sudah mengadakan mesyua­rat jawatankuasa bagi membincangkan isu tersebut bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos. Pada masa sama, BAM juga menafikan pemain yang berada di ranking ketujuh dunia itu berdepan isu dalaman BAM memandangkan Chong Wei sebelum ini setia bersama badan induk sukan badminton negara tersebut selama 19 tahun.

“Kami sudah mengadakan mesyuarat jawatankuasa pada 17 Januari untuk dengar masalah ini kerana dia adalah aset kita dan tidak mahu masa depannya disia-siakan. Datuk Jahaberdeen akan buat pengumuman berhubung perkara ini Jumaat nanti.

“Saya rasa beliau tidak ada masalah dalam BAM kerana Chong Wei sebelum ini berada di sini selama 19 tahun. Mungkin dia ada keutamaan lain walaupun kita sudah cuba pujuk untuk kekal,” ujarnya.

Sebelum ini, difahamkan ada pihak sedia untuk memberikan tajaan bernilai RM4 juta kepada Zii Jia bagi membiayai perjalanan profesionalnya selepas dia keluar daripada BAM. – Kosmo