Input your search keywords and press Enter.

Lee Zii Jia Sentiasa Dialu-Alukan Di Dubai – Axelsen

M Update, 24/01/2022 – Jika Lee Zii Jia mahukan tempat latihan bertaraf dunia, dia tidak perlu berfikir panjang kerana pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen sedia menerima kehadirannya sebagai rakan sparring di Dubai.

Axelsen dan beberapa bintang dunia terutama dari Denmark kecewa dengan keputusan BAM dan mahukan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengubah peraturan yang menyaksikan pemain hanya boleh mendaftar menerusi persatuan negara masing-masing untuk menyertai sebarang kejohanan.

“Dia (Lee Zii Jia) sentiasa dialu-alukan di Dubai,” katanya menjawab soalan wartawan saluran televisyen sukan tempatan dalam satu perbualan ringkas semalam. Saya berasa sangat sedih melihat berita beberapa hari lalu bukan sahaja untuk Lee Zii Jia tetapi juga untuk Goh Jin Wei,” kata pemain nombor satu dunia dari Denmark itu.

Zii Jia, 23, dikenakan hukuman tidak akan didaftarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menyertai mana-mana kejohanan selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari lalu susulan tindakannya mahu keluar daripada badan induk dan bergerak secara profesional.

Axelsen, yang mengubah pusat latihannya ke Kompleks Sukan NAS di Dubai, Emiriah Arab Bersatu sejak Ogos lalu, kini berlatih bersama juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew, pemain muda sedang meningkat dari Kanada, Brian Yang, Felix Burestedt dari Sweden dan terbaharu Mark Caljouw dari Belanda.

Bekas juara dunia itu keluar daripada pusat latihan kebangsaannya di Brondby kerana berasakan Dubai memberikan banyak kelebihan kepadanya yang menghidap penyakit asma, perjalanan antara satu kejohanan yang lebih pantas kerana banyak kejohanan diadakan di Asia di samping mahu menghabiskan banyak masa bersama keluarganya.

Selain Zii Jia, bekas juara remaja dunia dua kali Jin Wei turut dikenakan tindakan serupa bermula 31 Oktober 2021 selepas dia meninggalkan BAM pada 11 September dengan alasan masalah kesihatan.