Input your search keywords and press Enter.

Tanah Mendap: Keadaan Di Lestari Perdana Terkawal – JBPM

Foto: Bernama

M Update, 26/01/2022 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi jaminan situasi semasa di kawasan Lestari Perdana, Seri Kembangan, dekat sini, adalah terkawal susulan kejadian tanah mendap, semalam.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis, berkata kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sudah mengambil tindakan sewajarnya berhubung insiden itu.

“Anggota bomba dan polis masih berada di lokasi kejadian sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku sebarang insiden,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media melaporkan bomba menerima maklumat pada jam 6.38 petang semalam mengenai kejadian tanah mendap itu sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati lima kenderaan rosak akibat insiden berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu. -BH Online