Input your search keywords and press Enter.

Kaedah Kuarantin Baharu Bagi Kontak Rapat Minggu Depan

M Update, 18/02/2022 – Pemansuhan prosedur pengasingan bagi mana-mana individu yang didapati menjadi kontak rapat akan diumumkan pada minggu depan.

Keputusan untuk memansuhkan prosedur pengasingan bagi kontak rapat itu ketika ini sudah dilaksanakan dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam. Katanya, ia susulan pekeliling yang diedarkan kepada semua petugas kesihatan bertarikh 15 Februari lalu.

“Satu pekeliling sudah dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk pekerja kesihatan mengenai satu protokol baharu.

“Protokol itu merujuk kepada mereka yang disahkan kontak rapat, kini tidak lagi perlu menjalani isolasi sekiranya tiada gejala. Sebaliknya, mereka hanya perlu membuat ujian saringan pada hari tertentu dan protokol sama akan kita laksanakan untuk orang ramai apabila tiba masanya. Pengumuman mengenai perkara ini akan dibuat minggu depan,” katanya pada sidang media, semalam. – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

Berdasarkan prosedur sebelum ini, individu yang didapati menjadi kontak rapat dan belum lengkap vaksinasi, termasuk tiada suntikan dos penggalak diarahkan menjalani isolasi atau pengasingan untuk tempoh tujuh hari. Bagi individu yang sudah menerima suntikan dos penggalak, mereka hanya perlu menjalani pengasingan selama lima hari sekiranya didapati menjadi kontak rapat kes positif COVID-19.

Mengemukakan rasional di sebalik keputusan sedemikian yang berkemungkinan dilihat sebahagian daripada usaha peralihan ke fasa endemik, Khairy berkata ia bagi menghindari ‘tempias’ terhadap faktor ekonomi dan sektor pekerjaan.

Sekarang ini disebabkan peningkatan kes yang mencecah angka tertinggi semalam, terlalu kerap kita dengar orang dikategorikan sebagai kontak rapat. Kadang-kadang ia bukan disengajakan, tetapi mereka ini terkontak rapat, sekali gus berupaya menjejaskan aspek kehidupan seharian.

Justeru, untuk elakkan gangguan kepada ekonomi dan pengurusan pekerjaan yang sangat ketara apabila mereka terpaksa diasingkan atau menjalani kuarantin seandainya menjadi kontak rapat, kita buat perubahan ini.