Input your search keywords and press Enter.

UEL Mengaku Tidak Bersalah 11 Pertuduhan Gangguan Seksual

M Update, 18/02/2022 – Pendakwah terkenal, Ebit Lew, hari ini didakwa di Mahkamah Litar Tenom, di sini terhadap 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

Ebit, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani. Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Muhammad Ilmami Ahmad dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Azreen Yas Mohamad Ramli, manakala Ebit diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 20 hingga 23 April depan sebagai tarikh perbicaraan, manakala Ebit dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.

Terdahulu, Ebit yang berada di Sabah untuk menjalankan kerja-kerja amal tiba di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom pada jam 9 pagi tadi dengan menaiki Toyota Vellfire serta ditemani sekumpulan individu.

Polis turut mengawal pekarangan Pejabat Daerah Tenom sepanjang prosiding dijalankan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, berkata Ebit berdepan pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.

“Semua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, Sabah antara Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, Ebit berdepan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Abd Jalil berkata, polis meminta kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan prosiding perbicaraan berjalan lancar. – BH Online