Input your search keywords and press Enter.

Pemandu Myvi Pengsan, Tak Sengaja Langgar Kubur

Foto Tangkap Layar Facebook Syafiq Sidek Anak Pemandu Myvi

M Update, 18/02/2022 – Pemandu sebuah kereta Perodua Myvi yang tular gambar kenderaan itu yang terbabas di sebuah tanah perkuburan Islam hari ini difahamkan mengalami pitam sebelum kejadian dan tidak sengaja melanggar kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kemalangan itu berlaku selepas pemandu yang juga seorang wanita berusia 60 tahun tersebut selesai menziarahi kubur suaminya dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam Forest Height di Senawang itu.

“Ketika hendak bergerak keluar dari tanah perkuburan tersebut, pemandu Perodua Myvi itu berada dalam keadaan kekurangan gula dalam darah, lalu pitam. Ini menyebabkan kenderaan yang dipandunya bergerak ke hadapan secara tidak sengaja lalu melanggar dua tapak perkuburan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Nanda, pelanggaran tersebut menyebabkan kerosakan pada dua tapak perkuburan manakala Perodua Myvi itu hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian hadapan. Tiada kecederaan yang dialami oleh pemandu Myvi ini dan dia telah menerima rawatan yang sewajarnya.

Jelas beliau, anak pemandu Perodua Myvi tersebut hadir membuat laporan pemakluman kepada pihak polis dan akan bertanggungjawab ke atas segala pembaikian tapak perkuburan yang mengalami kerosakan susulan kejadian itu.

Terdahulu tular beberapa gambar di media sosial yang memaparkan sebuah kereta Perodua Myvi terbabas dalam kawasan tanah perkuburan Islam. – Utusan