Input your search keywords and press Enter.

Ribut Petir, Angin Kencang Dijangka Sehingga Awal Mac

M Update, 23/02/2022 – Kejadian ribut petir dan angin kencang yang berlaku kini dijangka berlarutan sehingga awal Mac ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata ia didorong faktor angin timuran dari Lautan Pasifik lembap yang sedang bertiup masuk ke rantau negara.

Senario itu, katanya menyebabkan pembentukan awan lebih mudah terjadi, sekali gus menyebabkan berlaku ribut petir dan angin kencang.

“Ada masanya berlaku tumpuan angin di kawasan tertentu yang menyebabkan ribut petir menjadi lebih ekstrem sehingga menghasilkan hujan batu dan puting beliung. Mengikut analisis terkini dan sumber daripada model ramalan, keadaan ini dijangka berterusan sehingga awal Mac.

Harus diingat peralihan monsun kebiasaannya akan bermula pada penghujung Mac sehingga awal Mei dan semasa peralihan itu, aktiviti ribut petir akan menjadi lebih kerap pada sebelah petang dan awal malam terutama di negeri pantai barat Semenanjung,” katanya dalam kenyataan.

METMalaysia jam 4.15 petang semalam melalui laman Facebook, turut mengeluarkan amaran ribut petir membabitkan kejadian hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di beberapa negeri yang dijangka berlarutan sehingga jam 8 dan 9 semalam.

Antara kawasan yang dijangka terkesan ialah di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya serta beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Di Melaka, lewat petang kelmarin, kira-kita 70 kediaman di daerah Melaka Tengah serta Durian Tunggal, Alor Gajah terjejas berikutan kejadian ribut serta hujan lebat.

Selain itu, lima kawasan di Dengkil turut terjejas akibat ribut kira-kira jam 5.30 petang kelmarin menyebabkan infrastruktur awam selain 18 kenderaan dihempap pokok.

Kejadian sama berlaku pada Ahad di Ipoh menyebabkan menara stesen pemancar telekomunikasi setinggi 30 meter tumbang dan menghempap sebuah kabin di perumahan Seri Palma, Bandar Seri Botani.

Mengulas lanjut mengenai situasi ini, Muhammad Helmi berkata, kejadian ribut petir itu boleh berlaku di mana-mana kawasan di dalam negara.

Justeru, sekiranya berdepan bencana ribut, jauhkan diri daripada kawasan terbabit dengan berlindung di dalam bangunan atau binaan berstruktur kukuh. Untuk mereka yang berada di dalam rumah, seboleh-bolehnya jauhkan diri daripada kawasan yang bercermin, seperti tingkap kaca. – BH