Input your search keywords and press Enter.

Sempadan Negara Akan Dibuka Tidak Lama Lagi – PM

M Update, 24/02/2022 – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kepada rakyat Malaysia di Kemboja bahawa Malaysia akan membuka sempadannya tidak lama lagi yang akan memudahkan proses perjalanan terutama bagi mereka yang menetap di luar negara.

Ismail Sabri berkata, varian Omicron telah menyebabkan rancangan negara untuk beralih ke peringkat endemik tertangguh, akhirnya turut melambatkan proses pembukaan sempadan.

“Kita hampir mengumumkan bahawa Malaysia telah memasuki peringkat endemik tetapi pada Disember 2021 varian Omicron, yang merebak pantas telah dikesan. Omicron ini tidak seteruk Delta. Ia cepat merebak tetapi tidak begitu berbahaya seperti Delta,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Keluarga Malaysia di Kemboja, malam Rabu.

Ismail Sabri berkata, rakyat Malaysia perlu belajar untuk hidup dengan Covid-19.

“Kita perlu menerimanya (Covid-19) sebagai penyakit lain seperti denggi,” katanya.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kes Covid-19 di Malaysia telah mencecah kira-kira 27,000 setiap hari, namun majoriti kes adalah kategori satu dan dua berikutan kadar vaksinasi yang tinggi di negara ini.

“Saya tahu ramai antara anda tidak sabar untuk pulang ke rumah. Saya difahamkan ada antara anda yang sudah hampir dua tahun tidak pulang ke rumah. Jadi dalam waktu yang terdekat, kita akan mula buka sempadan kita untuk seluruh dunia dan tuan-tuan boleh balik ke Malaysia,” katanya.

Terdapat kira-kira 5,000 rakyat Malaysia menetap di Kemboja dan 2,000 daripadanya berada di ibu kota Phnom Penh.

Ismail Sabri berkata, pembukaan sempadan negara adalah penting kerana ramai yang terkesan dengan penutupan sejak dilanda pandemik Covid-19 terutama yang melibatkan sektor pelancongan.

“Oleh itu, kita akan membukanya kembali. Sekatan pergerakan rakyat memberikan impak yang besar buat setiap individu,” katanya. – Bernama