Input your search keywords and press Enter.

Sekolah Boleh Jalankan PDPR Jika Kes Tinggi – KPM

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 23/02/2022 – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi pilihan kepada sekolah rendah dan menengah untuk menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya penularan kes COVID-19 pada tahap tinggi.

Kementerian kini memfokuskan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Memang kita sudah beri pilihan kepada sekolah rendah dan menengah, tingkatan satu hingga empat tidak perlu ke sekolah. Yang lain, mereka boleh buat PdPR dan sekolah rendah juga boleh memohon untuk mengadakan PdPR jika ada risiko penularan COVID-19. Kita sentiasa fleksibel dan menilai risiko dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra 2 di sini hari ini. – Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Pendidikan II

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pengoperasian sekolah dan tindakan KPM susulan peningkatan kes COVID-19. KPM juga telah menyediakan panduan prosedur operasi standard (SOP) kepada sekolah-sekolah untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku jangkitan penularan COVID-19.

“Garis panduan telah kita sediakan. Kementerian Kesihatan (KKM) atau Pejabat Kesihatan Daerah akan sentiasa bantu KPM dan sekiranya ada kes COVID-19 di sekolah, kita akan lapor dan mereka akan buat penilaian risiko.

“Kalau berlaku kes di asrama, KKM akan menilai sama ada perlu diteruskan atau tutup… kalau sampai tahap (kes tinggi) kita akan tutup, jika belum kita ambil langkah meminimumkan risiko supaya tidak menular dengan lebih teruk.

Keputusan yang kita ambil adalah berdasarkan kepada keselamatan murid dan guru di sekolah. – Bernama