Input your search keywords and press Enter.

Kesan AEFI : 17 Orang Terima Bantuan Kewangan

M Update, 04/03/2022 – Seramai 17 pesakit layak menerima bantuan khas kewangan berjumlah RM195,000 selepas mengalami kesan sampingan yang serius akibat vaksin COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia sudah dibayar bawah Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19. Setakat 15 Februari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 187 permohonan, termasuk 23 ditolak dan 147 masih dalam penilaian,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Rabu lalu.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengenai jumlah ‘pampasan’ sudah diberi, setakat ini, akibat kesan advers susulan imunisasi (AEFI).

Mengulas lanjut, Khairy berkata, sebanyak 86 permohonan sedang dinilai oleh Jawatankuasa Farmakovigilans yang menilai kesan buruk selepas imunisasi, manakala 61 sedang dinilai Jawatankuasa Teknikal yang menilai kesahihan permohonan bantuan.

Beliau memaklumkan, KKM menubuhkan tiga jawatankuasa untuk menentukan kesan dan isu keselamatan berkaitan vaksin COVID-19, iaitu Jawatankuasa Farmakovigilans, Jawatankuasa Teknikal Perubatan dan Jawatankuasa Utama yang memberikan kelulusan akhir untuk bantuan khas.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum ini menjelaskan dana kerajaan disalurkan kepada mereka yang mengalami kesan sampingan serius selepas vaksinasi COVID-19, bukan ‘pampasan’ tetapi adalah bantuan kewangan.

Bantuan yang diperkenalkan pada 22 Mac tahun lalu itu, bernilai tidak lebih RM50,000 jika berlaku kesan sampingan serius kepada penerima vaksin COVID-19 sehingga memerlukan rawatan berpanjangan di hospital, dan tidak lebih RM500,000 sekiranya berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan imunisasi itu.

Mereka yang layak menerima bantuan itu adalah individu yang mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Individu itu harus mengalami kesan sampingan yang serius dalam tempoh tiga bulan dari tarikh inokulasi.

Laporan mengenai kesan sampingan yang serius perlu dikemukakan kepada NPRA oleh kakitangan kesihatan yang merawat pesakit.

Bagi kematian, laporan bedah siasat perlu disertakan. Permohonan hanya akan dipertimbangkan dalam tempoh setahun dari tarikh AEFI kali pertama dilaporkan.- BH