Input your search keywords and press Enter.

Skuad Musa’adah Ke Terengganu, Kelantan Edar Bantuan Mangsa Banjir

Foto: Bernama

M Update, 04/03/2022 – Kira-kira 40 sukarelawan Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia akan mengedar barangan keperluan asas serta sumbangan wang tunai menerusi peruntukan khas RM3.77 juta kepada lebih 20,000 mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

“Kita harap bantuan ini dapat kurangkan beban yang ditanggung mereka yang sedang menghadapi ujian dari Allah,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelepasan Bantuan Banjir Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia, di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), ke Pantai Timur di sini hari ini.

Katanya skuad berkenaan akan bergerak ke Kemaman dan Hulu Terengganu di Terengganu sebelum meneruskan misi ke kawasan lain yang terjejas akibat banjir.

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini di Terengganu ialah seramai 2,846 mangsa berbanding 5,128 mangsa semalam, manakala Kelantan 4,715 mangsa berbanding 4,809 mangsa semalam. – BERNAMA