M Update, 10/03/2022 – Pesakit lelaki di Amerika Syarikat yang menerima pemindahan jantung babi meninggal dunia dua bulan selepas menjalani pembedahan itu.
David Bennet, 57, yang menerima jantung babi diubah suai secara genetik kerana menghidap penyakit jantung, meninggal dunia kelmarin, selepas menjalani pembedahan pada 7 Januari lalu.
Mangsa meninggal dunia di Pusat Perubatan University of Maryland (UMMC) dan menurut pihak hospital, kesihatannya mulai merosot sejak beberapa hari lalu serta terdapat petanda jelas menunjukkan bahawa Bennet tidak akan pulih.
Pengarah Program Pemindahan Kardiak universiti berkenaan, Muhammad Mohiuddin, dalam satu kenyataan, menjelaskan bahawa Bennet ada mengalami beberapa ‘masalah jangkitan’.
“Kami menghadapi kesukaran mengimbangi kadar kekurangan imuniti pesakit dan mengawal jangkitan yang dialami,” katanya. Bagaimanapun, Bennett sempat berhubung dengan keluarganya pada detik-detik terakhir sebelum kematiannya.
Prosedur pemindahan jantung babi yang diubah suai secara genetik adalah yang pertama seumpamanya di dunia, yang dijalankan oleh pasukan perubatan di Universiti Perubatan Maryland. Ia secara tidak langsung merekodkan kejayaan pertama dalam bidang yang memungkinkan pembedahan pemindahan organ kaedah baharu.
Prosedur itu juga meningkatkan harapan untuk melakukan pemindahan organ antara spesies sehingga satu hari nanti organ hidupan lain dapat mengatasi masalah kekurangan kritikal pendermaan organ manusia.
Mohiuddin berkata pasukannya mendapat ‘pelbagai maklumat berharga’ daripada pengalaman merawat Bennet dan kekal optimistik serta akan meneruskan ujian klinikal bagi pemindahan seumpamanya di masa depan. – BH