Input your search keywords and press Enter.

Henti Guna ‘Android Box’, Itu Satu Kesalahan – Polis

M Update, 29/07/2022 – Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dengan pembelian kotak TV penstriman yang tidak sah agar tidak teraniaya dari sudut undang-undang.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzham Jaafar mengulas berhubung penggunaan kotak TV haram yang menyiarkan siaran tanpa kebenaran sekali gus melanggar Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022.

Tegasnya, tawaran dengan harga yang lebih murah oleh pihak tertentu dalam memasarkan kotak TV haram di pasaran terbuka, sering kali menjadi ‘umpan’ buat pengguna. Namun natijahnya, pengguna tidak sedar bahawa mereka telah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

“Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah diterbitkan dalam Warta Kerajaan pada 10 Februari 2022 dan telah mula dikuatkuasakan mulai 17 Mac tahun ini.

Pindaan ini telah membawa beberapa perubahan terhadap Akta Hak Cipta, 1987 yang bertujuan untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap pelanggaran hak cipta menerusi teknologi penstriman.

Polis Daerah Cheras bersama Jabatan Keselamatan Astro telah mengadakan program kesedaran tentang akta ini di beberapa lokasi di sekitar Cheras pada 26 Julai 2022 semalam,” jelasnya. Sepanjang kempen berkenaan jelasnya, didapati banyak premis masih tidak mengetahui akan kesalahan yang mereka lakukan. Namun ketika ini, amaran telah diberikan agar kegiatan itu dihentikan serta merta.

“Kempen ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada premis perniagaan dan individu yang menayangkan siaran hiburan menggunakan perkhidmatan berbayar seperti Astro dan lain-lain penyedia perkhidmatan secara tidak sah adalah suatu kesalahan.

“Kami menasihatkan agar masyarakat untuk menghentikan penggunaan peranti penstriman yang tidak dibenarkan dan memastikan mereka memperoleh langganan bersesuaian serta menggunakan perkhidmatan hiburan yang sah di premis mereka kerana penstriman haram adalah suatu kesalahan,” katanya.

Turut dikesan, tindakan segelintir premis melakukan kesalahan melanggar kontrak penyiaran dengan menggunakan kotak TV siaran di rumah bagi tujuan komersial.

Jika tertangkap, ujar Muhammad Idzham, pemilik kotak TV berkenaan boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 43A Akta Hak Cipta.

Pengarah syarikat juga boleh bertanggungjawab secara peribadi jika syarikat mereka terbabit dalam aktiviti yang dilarang seperti penstriman haram. Penstriman ini juga salah satu jenayah scam yang kami (PDRM) tengah promosi kempen kesedaran kepada masyarakat.

“Penstriman ini kalau jenayah scam keuntungan kepada satu pihak sahaja, tetapi kalau penstriman sekarang yang berleluasa ini, mangsa akan lebih teraniaya (kerana melakukan kesalahan tanpa sedar),” katanya lagi.

Kesan kepada ekonomi negara

Mengulas lanjut tambah Ketua Polis Daerah Cheras itu, tindakan individu mahupun premis menggunakan kotak TV haram membawa kesan yang besar kepada negara.

Lebih lagi apabila kerajaan kehilangan hasil cukai daripada sesebuah syarikat penyiaran apabila terpaksa menanggung kerugian gara-gara siaran mereka dicetak rompak oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Jadi apa-apa tindakan aktiviti haram ini, terutama kesan terhadap cukai kerajaan, apabila pendapatan satu syarikat seperti Astro ini berkurangan. Jadi hasil kerajaan juga berkurangan, maksudnya di sini kita sama-sama membantu ekonomi negara cuba kita elakkan apa-apa perkhidmatan tidak disahkan undang undang.

Saya ingin mengambil kesempatan disini, untuk mengingatkan semua masyarakat dibawah IPD Cheras supaya cuba menghentikan dan mengelakkan terutama penstriman tidak sah,” tegasnya lagi. – Astro Awani