Input your search keywords and press Enter.

Langgar SOP: Sabah, Selangor Negeri Paling Tinggi – Dr Noor Hisham

M Update, 23/03/2022 – Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan sebanyak 2,338 kompaun terhadap individu serta 506 kompaun kepada pertubuhan sepanjang Minggu Epidemilogi (ME) 1/2022 hingga ME 11/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, kompaun tertinggi dikeluarkan di Sabah dengan 623 kompaun diikuti Selangor sebanyak 505 kompaun serta Johor (340).

Terdapat peningkatan tawaran kompaun di Selangor dan Perak pada ME 11/2022 berbanding minggu sebelumnya. Perak mencatatkan 17 kompaun pada ME 1/2022 namun meningkat kepad a 67 kompaun pada ME 11/2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memperincikan mengenai kesalahan kompaun yang tertinggi dikeluarkan, Dr Noor Hisham berkata, terdapat empat kesalahan utama yang dikesan oleh pihaknya.

“Ia membabitkan gagal menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis (1,740); gagal memakai pelitup muka (236), gagal mengamalkan penjarakan fizikal (55) dan gagal menyediakan peralatan untuk merekod butiran diri (12).

“Selain itu, ialah lain-lain kesalahan mengikut Akta 342 serta peraturan bawahnya yang ditawarkan oleh KKM (801),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, selain kompaun yang dikeluarkan oleh KKM, tawaran kompaun berkenaan turut dikeluarkan oleh beberapa agensi lain iaitu sebanyak 9,294 kompaun individu dan 293 tawaran kompaun pertubuhan.

Selain itu, KKM turut mengambil tindakan dengan menutup premis mengikut Seksyen 18 Akta 342 bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19. Sejumlah 954 premis sudah ditutup di mana 913 daripadanya adalah premis perniagaan, diikuti dengan kilang (40 premis) dan satu premis tapak pembinaan.

Melalui data-data yang ditunjukkan KKM, jelas bahawa tahap kepatuhan masyarakat, pemilik premis dan juga pertubuhan perbadanan masih boleh dipertingkatkan lagi. Ini adalah penting bagi mengurangkan risiko penularan serta membantu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Syabas dan terima kasih diucapkan kepada mereka yang patuh kepada SOP yang ditetapkan. Dengan mematuhi SOP, anda berjaya mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dan berjaya melindungi diri anda, keluarga, serta masyarakat sekeliling anda daripada bahaya COVID-19,” katanya. – BH