Input your search keywords and press Enter.

SOSMA: PDRM Guna Peruntukan Sedia Ada

M Update, 24/03/2022 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk melaksanakan penahanan bagi kesalahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas 31 Julai depan.

Ia susulan Dewan Rakyat menolak usul Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA selepas tarikh berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam satu kenyataan berkata, PDRM mengambil maklum dan menerima ketetapan itu. Keputusan itu bermakna SOSMA tidak lagi memperuntukkan kuasa penahanan selama 28 hari ke atas individu yang ditahan bagi siasatan membabitkan kes keselamatan bersifat kompleks.

“Antaranya kesalahan di bawah Bab VI Kanun Keseksaan (kesalahan terhadap negara), Bab VIA kanun sama (kesalahan berkaitan keganasan), Bab VIB kanun sama (kesalahan jenayah terancang), Bab IIIA Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Langkah Khas Menentang Keganasan Luar Negara 2015,” katanya.

Beliau berkata, kes membabitkan kesalahan SOSMA yang disiasat selepas 31 Julai akan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk melaksanakan penahanan melalui proses reman di mahkamah. PDRM kekal komited menjalankan siasatan menggunakan akta sedia ada yang masih berkuat kuasa.

Dewan Rakyat semalam gagal meluluskan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA untuk tempoh lima tahun lagi. Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir. – BH