Input your search keywords and press Enter.

Fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang Di KL, Putrajaya, Shah Alam

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 28/03/2022 – Bandaraya Kuala Lumpur, Putrajaya, Shah Alam serta beberapa bandar lain akan mengalami fenomena tengah hari tanpa bayang hari ini, susulan peristiwa ekuinoks apabila matahari berada tepat di atas garisan Khatulistiwa.

Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mengalami fenomena tersebut pada jam 1.19 tengah hari ini manakala Shah Alampada jam 1.20 tengah hari.

Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba, semasa peristiwa ekuinoks, seluruh dunia mengalami waktu siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam siang serta malam.

Peristiwa Ekuinoks juga menandakan perubahan musim iaitu bermulanya musim bunga di hemisfera utara bumi manakala di hemisfera selatan bumi pula akan mula mengalami musim luruh.

Ia dipanggil fenomena tengah hari tanpa bayang kerana pada waktu tengah hari, matahari akan berada tepat di atas kepala setiap orang di atas sepanjang garisan khatulistiwa dan bayang kepala serta badan akan terjatuh ke tapak kaki seolah tiada bayang yang jatuh ke bumi,” katanya dalam kenyataan.

Namun begitu, beliau berkata, kedudukan Malaysia yang berada agak sedikit ke utara daripada garisan Khatulistiwa menyebabkan Malaysia tidak mengalami fenomena tengah hari tanpa bayang pada 21 Mac lalu.

“Malaysia mula mengalami fenomena tengah hari tanpa bayang pada 23 Mac lalu di bandar Serian, Sri Aman dan Betong di Sarawak serta Kukup di Johor.

“Ini diikuti bandar lain pada tarikh berikutnya sehinggalah ke bandar terakhir iaitu Kudat dan Jambongan di Sabah pada 7 April ini dan selepas itu matahari akan semakin teranjak ke latitud lebih ke utara iaitu ke negara seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja,” katanya.

Dr Adham juga menggalakkan seluruh Keluarga Malaysia menghayati fenomena ini dan orang ramai digalakkan keluar rumah lebih awal untuk memerhatikan perubahan bayang-bayang sendiri atau bayang-bayang objek lain di sekitar kawasan.