Input your search keywords and press Enter.

Pemain Hoki Digantung Wakili Negara Angkara Komen

M Update, 09/02/2023 – Gara-gara mengeluarkan komen sensitif di media sosial, pemain hoki wanita negara Hanis Nadiah Onn menerima padah apabila digantung dan tidak dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan pada Sukan SEA Kemboja 2023, Mei ini.

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang bermesyuarat Selasa lepas berhubung isu komen Hanis Nadiah didakwa berbaur perkauman berkaitan konsert penyanyi dan komposer dari India, AR Rahman di ibu negara, bulan lepas.

Jawatankuasa Siasatan dipengerusikan secara bersama Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal telah memanggil Hanis Nadiah yang juga Pemain Harapan Terbaik Asia 2016 untuk sesi temu bual bagi membantu siasatan isu berkenaan.

Hasil daripada sesi itu dan setelah memperhalusi beberapa dapatan lain berhubung isu berkenaan, jawatankuasa merumuskan Hanis Nadiah memuat naik komen berbaur perkauman kerana komen itu ditujukan kepada konsert dihadiri majoriti kaum India.

“Sehubungan itu, jawatankuasa mendapati Hanis Nadiah bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain.

“Hanis Nadiah juga didapati bersalah kerana ciapan komen yang boleh disalah erti atau menimbulkan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak lain,” menurut kenyataan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.

Hanis Nadiah juga didapati bersalah kerana membuat komen mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan KHM yang jelas melanggar kod etika badan induk hoki itu. Bagaimanapun, menurut kenyataan berkenaan, KHM akan menilai semula keputusan berkaitan pemain berusia 26 tahun itu sekiranya beliau mempamerkan perubahan sikap yang positif.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Siasatan berharap tindakan diambil itu akan menjadi ingatan dan pengajaran berguna kepada Hanis Nadiah serta semua atlet negara untuk sentiasa berhati-hati dengan sebarang hantaran ataupun ciapan di semua platform media sosial.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, jurulatih skuad hoki wanita negara Mohd Nasihin Nubli Ibrahim memaklumkan sebagai pemain utama pasukan, Hanis Nadiah memiliki perwatakan merendah diri serta berdisiplin sepanjang latihan dan kejohanan selain mempunyai ramai kenalan hoki berbangsa India. – Bernama